Rabu, 11 March 2020 | 8:05pm
Pekerja perubatan lengkap berpakaian keselamatan memindahkan pesakit di Sanglah Hospital, Denpasar di Bali. - Foto REUTERS
Pekerja perubatan lengkap berpakaian keselamatan memindahkan pesakit di Sanglah Hospital, Denpasar di Bali. - Foto REUTERS

Indonesia lapor kematian pertama COVID-19

JAKARTA: Indonesia mencatatkan kes pertama kematian akibat COVID-19, apabila seorang wanita warga Britain berusia 53 tahun yang dirawat di hospital di Bali meninggal dunia hari ini.

Ketua pasukan petugas COVID-19 Bali, Dewa Made Indra, memberitahu Metro TV, wanita berkenaan tiba di pulau itu pada 29 Februari lalu dan melaporkan dirinya kepada pihak berkuasa perubatan tiga hari kemudian selepas menghidap demam.

Pegawai Kementerian Kesihatan Indonesia, Achmad Yurianto, berkata wanita itu mengalami empat masalah kesihatan lain sebelum itu termasuk demam dan tekanan darah tinggi.

"Kami memberi sokongan kepada keluarga wanita ini yang meninggal dunia di Indonesia dan berhubung dengan pihak berkuasa tempatan," kata jurucakap Kedutaan Britain di Jakarta, John Nickel.

Indra memaklumkan, wanita itu sudah pun dikebumikan atas permintaan keluarganya.

Katanya, seramai 21 orang yang mempunyai hubungan dengan wanita itu sudah diuji.

Bali, destinasi terkenal dalam kalangan pelancong dari China dan negara asing lain, tidak melaporkan sebarang pengesahan kes COVID-19 sebelum ini.

Indonesia, negara keempat paling ramai penduduk di dunia, mengesahkan kes pertama COVID-19 minggu lalu, ketika beberapa pakar perubatan menyuarakan kebimbangan mengenai kurangnya tahap waspada dan risiko kes tidak dapat dikesan.

Mengikut data di laman sesawang, kementerian kesihatan sudah membuat ujian terhadap kira-kira 800 orang bagi pengesanan virus berkenaan.

Hari ini, Indonesia mengesahkan tujuh kes baharu, menjadikan keseluruhan 34 kes disahkan COVID-19 di republik itu.

Pegawai kementerian kesihatan, Yurianto, berkata usia pesakit baharu yang semuanya warga Indonesia dan dijangkiti virus itu di luar negara adalah antara 29 dan 84 tahun.

Pihak berkuasa Indonesia menyatakan, kes yang disahkan adalah dari luar negara atau berkaitan dengan kluster di Jakarta yang ada berhubung dengan pelancong Jepun, walaupun mereka masih menyiasat asal jangkitan itu pada seorang pesakit.

Yurianto berkata, setakat ini tiada sesiapa yang bersentuhan dengan pesakit dan dua pesakit sudah dibenarkan pulang dari hospital penyakit berjangkit di Jakarta, selepas mereka pulih.

Berikutan kebimbangan berkaitan wabak itu yang semakin meningkat di ibu negara, Gabenor Jakarta, Anies Baswedan membatalkan hari bebas kereta untuk dua minggu berikutnya, yang biasanya diadakan setiap Ahad.

Rancangan untuk Jakarta menjadi tuan rumah bagi perlumbaan kereta Formula E yang dijadualkan pada 6 Jun ini juga sudah ditangguhkan. - REUTERS

Berita Harian X