Selasa, 18 Februari 2020 | 11:46pm
Sehingga kini 35 kes yang disahkan COVID-19 dicatatkan di Thailand dengan 17 daripadanya sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital. - Foto AFP
Sehingga kini 35 kes yang disahkan COVID-19 dicatatkan di Thailand dengan 17 daripadanya sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital. - Foto AFP

140 jalani kuarantin COVID-19 di Bangkok dibenarkan pulang

BANGKOK: Seramai 140 individu yang akan menamatkan tempoh kuarantin 14 hari selepas dibawa pulang oleh kerajaan Thailand dari kawasan wabak COVID-19 di Wuhan, China pada 4 Februari lalu, akan dibenarkan pulang esok, dan tinggal seorang sahaja lagi yang masih akan terus menerima rawatan di hospital.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam Thailand, Sathit Pitutecha, berkata pada 4 Februari lalu, 141 orang yang termasuk tiga pegawai dari Kementerian Luar Thailand, dibawa pulang dari Wuhan, China, oleh kerajaan Thailand.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, hanya seorang yang disahkan positif COVID-19 pada 8 Februari lalu, dan menerima rawatan di Hospital Chon Buri.

“Seramai 140 lagi yang disahkan negatif COVID-19 akan dibenarkan pulang esok,” katanya dalam sesi taklimat harian, di sini hari ini.

Sehingga kini 35 kes yang disahkan COVID-19 dicatatkan di Thailand dengan 17 daripadanya sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital, manakala selebihnya masih menjalani rawatan. - BERNAMA

Berita Harian X