Khamis, 6 Februari 2020 | 9:58am
Orang awam memakai topeng mulut dan hidung di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, di Bangkok. - Foto AFP
Orang awam memakai topeng mulut dan hidung di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, di Bangkok. - Foto AFP

Pesakit tempatan pertama jangkitan coronavirus Thailand sembuh

BANGKOK: Kes jangkitan manusia-ke-manusia novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) pertama Thailand, sudah dibenarkan keluar dari kemudahan perubatan selepas ujian makmal menunjukkan beliau sembuh daripada penyakit itu.

Pemandu teksi berusia 50 tahun itu, yang tidak mempunyai rekod perjalanan ke kawasan yang terjejas akibat wabak tersebut, mungkin dijangkiti seorang pelancong China yang sakit dan telah menerima rawatan di Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul, berkata pemandu teksi itu telah disahkan sebagai bersih daripada coronavirus oleh doktor selepas menerima rawatan.

“Tiada ahli keluarga atau mereka yang mempunyai kontak dengannya dijangkiti virus itu. Pada masa ini, sembilan dari 25 pesakit koronavirus yang boleh membawa maut telah dibenarkan keluar dari hospital,” katanya ketika memberikan maklumat terkini mengenai koronavirus di Thailand di sini hari ini.

Pemandu teksi itu, yang hadir pada taklimat itu, mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kesihatan kerana merawat dan menjaganya.

Anutin berkata, 16 pesakit masih menerima rawatan di hospital dan keadaan mereka bertambah baik.

Sementara itu, di Pangkalan Tentera Laut Sattahip di Chon Buri, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Sathit Pitutecha, berkata empat rakyat Thailand yang dibawa pulang dari Wuhan semalam, dimasukkan ke Hospital Tentera Laut Ratu Sirikit di Chon Buri pada lewat malam tadi.

“Ujian makmal menunjukkan keempat-empat mereka adalah negatif koronavirus,” katanya.

Pada masa ini, ada 25 kes disahkan di Thailand, yang menyaksikan 19 daripada mereka adalah rakyat China manakala bakinya penduduk tempatan. – BERNAMA

Lagi berita mengenai novel coronavirus (2019-nCoV) - https://www.bharian.com.my/coronavirus

Berita Harian X