Khamis, 23 Januari 2020 | 10:49pm

Pelancongan Thailand terjejas akibat pencemaran

BANGKOK: Pencemaran udara dan pengukuhan nilai baht dijangka memberi kesan terhadap kedatangan pelancong ke Thailand.

Presiden Agensi Pelancongan Thailand, Vichit Prakobgosol, berkata pihaknya menjangkakan jumlah pelancong asing ke negara itu akan berkurangan.

Bagaimanapun, beliau optimis masalah yang sering berlaku pada awal tahun itu dapat ditangani.

"Faktor negatif utama nilai mata wang naik mungkin memberi kesan terhadap jumlah pelancong pada tahun ini iaitu di bawah sasaran 41 juta hingga 42 juta orang.

"Indeks pencemaran udara sehingga mencatatkan particulate matter (PM) atau debu bersaiz 2.5 (PM2.5) juga antara kebimbangan kebanyakan pelancong, yang rasa tidak selamat apabila melihat penduduk tempatan memakai topeng muka," katanya.

Sehubungan itu, Prakobgosol meletakkan harapan supaya kerajaan memberi sokongan padu kepada Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand dari segi pemasaran dan pembangunan produk serta perkhidmatan baharu pada harga berpatutan oleh usahawan.

Jika kerajaan dan swasta tidak sehaluan, beliau tidak menolak kemungkinan sektor pelancongan Thailand akan tewas kepada 'musuh' terdekat iaitu Malaysia dan Vietnam kerana isu nilai mata wang tidak dialami negara berkenaan.

"Dilaporkan bahawa kerajaan Malaysia mengecualikan visa untuk pelancong dari China dan India. Jika ini benar, ia akan memberi kesan terhadap Thailand di mana kami bakal kehilangan banyak pendapatan kerana pelancong China adalah pelanggan utama," katanya.

Mengulas mengenai penularan coronavirus di Wuhan, China, Prakobgosol berkata beliau tidak percaya ia akan memberi kesan negatif terhadap sektor pelancongan Thailand pada musim perayaan Tahun Baharu Cina hujung minggu ini.

Namun, beliau berharap penularan virus itu dipantau dengan teliti sehingga Februari dan Mac kerana kebanyakan pelancong adalah dari China, begitu juga bagi India, Taiwan, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Thailand, Supawan Tanomkieatipume, berkata kadar purata penginapan hotel jatuh kepada 70 hingga 75 peratus tahun lalu.

Pada kebiasaannya, kata beliau, kadar purata penginapan hotel direkodkan pada tahap 80 peratus. - Agensi

Berita Harian X