Isnin, 20 Januari 2020 | 9:51pm
Aktivis Dano Anes Tabuni (kanan) dan Ambrosius Mulait bergambar dengan berseluar panjang selepas mahkamah Jakarta mengarahkan dua tertuduh warga Papua membuka ‘koteka’ atau sarung zakar diperbuat daripada buah labu kering, sebelum memulakan prosiding. - Foto AFP
Aktivis Dano Anes Tabuni (kanan) dan Ambrosius Mulait bergambar dengan berseluar panjang selepas mahkamah Jakarta mengarahkan dua tertuduh warga Papua membuka ‘koteka’ atau sarung zakar diperbuat daripada buah labu kering, sebelum memulakan prosiding. - Foto AFP

Warga Papua diarah buka 'koteka' ketika prosiding mahkamah

JAKARTA: Mahkamah mengarahkan dua tertuduh warga Papua membuka ‘koteka’ atau sarung zakar diperbuat daripada buah labu kering, sebelum memulakan prosiding.

Walaupun kedua-duanya, yang menghadapi tuduhan menderhaka, membantah arahan itu atas alasan berunsur perkauman kerana menafikan hak berpakaian tradisi, mahkamah tetap bertegas.

Selepas beberapa jam berunding, mereka akhirnya tanpa kerelaan, bersetuju memakai seluar berikutan panel hakim enggan memulakan prosiding jika sebaliknya. Ini kali kedua isu pakaian tradisi melewatkan perbicaraan enam aktivis warga Papua yang didakwa.

Seorang aktivis terbabit, Ambrosius Mulait, yang turut memakai tanjak tradisi Papua dan lukisan di muka selain menulis perkataan ‘monkey’ atau monyet di dada, menyuarakan rasa kecewa kerana identitinya tercemar.

“Kami menjadi mangsa perkauman di luar mahkamah dan kini menjadi mangsa perkauman di dalam mahkamah sendiri,” katanya.

Papua menyaksikan beberapa tragedi keganasan sejak beberapa bulan lalu berikutan usaha baharu menuntut kemerdekaan, di mana cacian berunsur perkauman seperti ‘monyet’ dan sebagainya kerap digunakan.

Sebagai etnik Melanesia, kebanyakan warga Papua beragama Kristian, yang tidak banyak hubungan dari segi kebudayaan dengan majoriti warga Indonesia beragama Islam,

Kesemua enam aktivis terbabit ditahan Ogos lalu kerana menyertai demonstrasi di istana presiden di Jakarta, di mana bendera Papua, Morning Star, yang menjadi simbol perjuangan kemerdekaan tetapi diharamkan di Indonesia, dinaikkan.

Bulan lalu, Mahkamah Agung Indonesia menambah hukuman penjara terhadap seorang warga Poland kerana kaitannya dengan gerila pemisah di Papua.

Papua, bekas wilayah jajahan Belanda, menjadi sebahagian daripada Indonesia pada 1960. - AFP

Berita Harian X