Selasa, 14 Januari 2020 | 6:14pm
AKTIVIS mengadakan demonstrasi membantah Gabenor Anies Baswedan di Jakarta. - Foto AFP
AKTIVIS mengadakan demonstrasi membantah Gabenor Anies Baswedan di Jakarta. - Foto AFP

Mangsa banjir Jakarta saman Gabenor

JAKARTA: Gabenor Jakarta dikenakan tindakan undang-undang daripada penduduk bandar itu selepas hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang membunuh berpuluh mangsa serta menyebabkan ribuan hilang tempat tinggal, kata seorang peguam, hari ini.

Lebih 200 mangsa banjir menuntut pampasan berjumlah 43 bilion rupiah (AS$3 juta), yang difailkan di mahkamah daerah Jakarta, semalam.

Tuntutan saman itu mendakwa Gabenor Jakarta, Anies Baswedan bertanggungjawab kerana gagal memastikan bandar besar itu dilengkapi sistem amaran awal dan tindakan kecemasan yang berkesan bagi mengurangkan jumlah kematian dan kerugian kewangan. Biro perundangan bandar itu tidak memberi maklum balas untuk komen.

“Ini perlu dijadikan pengajaran kepada kerajaan tempatan di kawasan lain supaya sentiasa berwaspada dengan langkah pencegahan bencana.

“Jika ini berlaku di Jakarta, di mana kerajaan pusat berada, ia boleh berlaku di mana saja,” kata peguam, Alvon Kurnia Palma kepada AFP.

Bencana itu menyebabkan kerugian bernilai sekurang-kurangnya AS$72 juta membabitkan kerosakan dan kehilangan wang tunai, menurut Persatuan Usahawan Pribumi Indonesia.

Seluruh kawasan bandar itu yang dihuni kira-kira 30 juta penduduk ditenggelami banjir yang memaksa ribuan dipindahkan ke pusat perlindungan sementara susulan hujan lebat yang bermula pada malam Tahun Baru.

Sekurang-kurangnya 67 individu maut di Jakarta dan bandar berhampiran, dengan banjir mencecah ke tingkat dua sesetengah bangunan selepas air sungai melimpah keluar. - AFP

Berita Harian X