Jumaat, 15 November 2019 | 8:33pm
Pekerja memasukkan e-skuter milik GrabWheels di kawasan Senayan, Jakarta ke dalam trak semalam. -Foto Agensi

Jakarta larang guna e-skuter di laluan pejalan kaki, jejambat, jalan raya susulan nahas

JAKARTA: Skuter elektrik (e-skuter) popular GrabWheels yang disewakan syarikat ride-hailing Grab Indonesia tidak lagi dibenarkan digunakan secara bebas di jalanan ibu kota itu ketika pentadbiran bandar dijangka mengetatkan peraturan penggunaannya susulan kematian dua pengguna dalam nahas jalan raya awal minggu ini.

Agensi Pengangkutan Jakarta ketika ini mendraf peraturan bagi memastikan keselamatan pengguna, kata ketuanya, Syafrin Liputo.

Perkhidmatan itu dikecam selepas dua pengguna dilanggar kenderaan dan maut di luar kompleks sukan Gelora Bung Karno (GBK) di Jakarta Pusat awal pagi Isnin lalu.

Nahas itu menyebabkan agensi berkenaan bertemu wakil Grab Indonesia bagi membincangkan operasi e-skuter terbabit.

“Kami berbincang dengan pengendali e-skuter dan bersetuju bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pejalan kaki, kami akan membenarkan lebih ruang bagi mereka dengan melarang e-skuter daripada digunakan di laluan dan jejambat pejalan kaki,” katanya kepada media semalam.

Perkhidmatan itu, dipromosi sebagai alternatif hijau dan moden, hanya dibenarkan beroperasi di kawasan tertentu seperti GBK. Sekatan itu terpakai bukan hanya kepada GrabWheels namun pemilik persendirian e-skuter.

“Apabila mereka pergi luar dari kawasan itu, pengguna perlu menggunakan laluan berbasikal berbanding pejalan kaki dan tidak bercampur di jalan raya dengan kenderaan lain untuk keselamatan semua orang.

“Pengguna tidak digalakkan menggunakan e-skuter ketika acara Hari Bebas Kenderaan,” kata Syafrin menambah agensinya akan mengehadkan jam sewaan dari 5 pagi hingga 11 malam, menurut laporan The Jakarta Post. -Agensi

Berita Harian X