Rabu, 23 Oktober 2019 | 8:33pm
Raja Maha Vajiralongkorn, Ratu Suthida, Puteri Bajrakitiyabha dan Puteri Sirivannavari Nariratana ketika menghadiri memperingati kematian Raja Chulalongkorn di Bangkok, Thailand, hari ini. Foto Reuters

Raja Thailand pecat enam pegawai istana

BANGKOK: Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dilaporkan memecat enam pegawai istana kerana perbuatan yang dianggap melampau, iaitu beberapa hari selepas pemecatan peneman diraja.

Pihak istana dalam satu pengumuman berkata, antara yang dipecat termasuk seorang wanita, seorang pegawai kanan polis dan dua pengawal diraja, yang bertugas di dalam istana.

Dalam dua pengumuman berasingan yang diterbitkan di dalam warta diraja mendakwa keenam-enam terbabit dikenakan tindakan atas kesalahan disiplin yang serius, yang boleh menjejaskan perkhidmatan diraja.

Berikutan itu, kesemua mereka dipecat dan segala pangkat rasmi yang dimiliki ditarik balik.

“Raja sudah mengarahkan pemecatan mereka daripada perkhidmatan diraja, akibat salah laku disiplin yang amat serius dan perbuatan yang dianggap melampau,” kata salah satu pengumuman itu.

Namun, Reuters gagal menghubungi enam pegawai terbabit bagi mendapatkan komen mereka.

Isnin lalu, semua gelaran yang diberikan kepada bekas gundik raja, Sineenat Wongvajirapakdi ditarik balik, beberapa bulan selepas Raja Maha Vajiralongkorn mengurniakan beliau gelaran peneman diraja, iaitu yang pertama dalam tempoh satu abad.

Dalam kenyataan mengenai keputusan itu, beliau dituduh tidak setia dan cuba bersaing dengan Ratu Suthida Bajrasudhabimalalakshana, yang berkahwin dengan Raja Maha Vajiralongkorn pada Mei lalu, iaitu beberapa hari sebelum majlis pertabalan raja. - Reuters

Berita Harian X