Rabu, 23 Oktober 2019 | 6:59pm
Jawatankuasa Kongres Tamil Nadu gesa Kerajaan India kaji semula hasrat kurang import minyak sawit dari Malaysia. Foto hiasan
Jawatankuasa Kongres Tamil Nadu gesa Kerajaan India kaji semula hasrat kurang import minyak sawit dari Malaysia. Foto hiasan

TNCC gesa India kaji kurang import minyak sawit Malaysia

KUALA LUMPUR: Isu minyak sawit Malaysia-India mencatatkan perkembangan baharu.

Ketika sebuah persatuan perdagangan India supaya pengimport tidak mengimport minyak sawit dari Malaysia, sebuah badan politik di selatan India, menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi tidak mengurangkan import minyak dari Malaysia.

Jawatankuasa Kongres Tamil Nadu (TNCC) berkata, sebarang pengurangan import minyak sawit dari Malaysia oleh India boleh menjejaskan pekerja asing dari negeri selatan India, iaitu Tamil Nadu yang ketika ini bekerja di Malaysia.

Presiden TNCC, K.S. Alagiri, berkata sekurang-kurangnya 500,000 pekerja dari Tamil Nadu bekerja dalam sektor teknologi maklumat dan restoran di Malaysia.

“Mereka juga menghantar hampir 90 peratus daripada gaji mereka kepada keluarga mereka yang tinggal di India,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi beliau menerusi laman twitternya @KS_Alagiri.

TNCC adalah sayap parti Kongres Nasional India di Tamil Nadu.

Menurut Bank Dunia, India mendahului senarai global penerima pengiriman wang dengan US$79 bilion (RM331 bilion) tahun lepas, terutama dari negara Teluk. Malaysia menduduki tangga ke-20.

Selain itu, rakyat India Malaysia adalah komuniti ketiga terbesar di Malaysia dan majoriti daripada mereka adalah keturunan Tamil yang nenek moyangnya berasal dari Tamil Nadu.

Alagiri menjelaskan langkah mengurangkan import minyak sawit dari Malaysia, juga akan memberi kesan kepada komuniti India Malaysia kerana ramai daripada mereka bekerja di ladang sawit dan getah di Malaysia.

“Justeru, parti Kongres Tamil Nadu menggesa kerajaan Modi supaya tidak mengurangkan import minyak sawit dari Malaysia,” katanya.

India, pengimport minyak sayuran terbesar di dunia bergantung kepada Indonesia dan Malaysia bagi bekalan minyak sawitnya.

Malaysia mengeksport minyak sawit bernilai US$1.65 bilion (RM6.9 bilion) ke India pada 2018.

Pada Isnin lalu, kumpulan industri Solvent Extractors’ Association (SEA) of India, yang mewakili pengekstrak biji minyak menasihatkan ahli-ahlinya, supaya tidak membeli minyak sawit dari Malaysia, susulan bantahan New Delhi terhadap kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung konflik Kashmir.

Pada 5 Ogos lalu, Kerajaan India membatalkan status autonomi undang-undang Kashmir dan mengenakan langkah-langkah keselamatan, termasuk menyekat internet dan perkhidmatan telefon bagi mengelakkan bantahan di wilayah itu.

Dr Mahathir, ketika berucap pada Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-74 berkata, ‘meskipun resolusi PBB ke atas Jammu dan Kashmir, negara itu sudah diserang dan diduduki’, dan menggesa India ‘untuk bekerjasama dengan Pakistan bagi menyelesaikan masalah ini’.

Menteri Hal Ehwal Luar India pada 4 Okt membantah kenyataan Dr Mahathir mengenai Kashmir itu.

Bagaimanapun, setakat ini, Kerajaan India masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu minyak sawit itu. - Bernama

Berita Harian X