Rabu, 23 Oktober 2019 | 11:24am
ANGGOTA keselamatan memeriksa bahagian enjin pesawat Lion Air yang terhempas di Laut Jawa. - Foto Reuters

Keluarga mangsa Lion Air diberi taklimat nahas

JAKARTA: Keluarga mangsa nahas Lion Air di Indonesia tahun lalu menemui penyelia keselamatan hari ini untuk diberi taklimat mengenai laporan akhir mengenai bencana itu yang akan disiarkan dalam masa beberapa hari lagi.

Semua 189 penumpang dan anak kapal terbunuh apabila pesawat 737 MAX terjunam ke dalam Laut Jawa sejurus berlepas dari Jakarta Oktober tahun lalu.

Perkhidmatan model berkenaan digantung di seluruh dunia selepas Ethiopian Airlines 737 MAX terhempas sejurus berlepas dari Addis Ababa Mac lalu, mengorbankan 157 penumpang dan anak kapal.

Siasatan awal mengenai kedua-dua nahas menunjukkan Sistem Peningkatan Ciri Pemanduan (MCAS) pesawat itu, mekanisma kawalan penerbangan automatik tidak dapat dikawal juruterbang.

Laporan awal mengenai nahas di Indonesia juga mensasarkan budaya keselamatan syarikat penerbangan tambang murah, Lion Air.

Bulan lalu, peguam plaintif memberitahu Boeing setakat ini sudah mencapai penyelesaian dengan 11 keluarga mangsa nahas.

Hari ini, puluhan anggota keluarga mangsa yang masih kesedihan dijangka bertemu penyiasat daripada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia untuk diberi taklimat mengenai rumusan laporan akhir nahas berkenaan.

Laporan media menyebut, ia mungkin disiarkan seawal Jumaat ini. — AFP

Berita Harian X