Selasa, 22 Oktober 2019 | 7:46am
Unit siasatan polis sendiri menggesa jabatan kehakiman supaya mendakwa Albayalde dan 13 lain atas tuduhan rasuah dan melanggar undang-undang anti-dadah negara itu. -Foto Agensi

Polis Filipina mahu dakwa bekas ketuanya atas tuduhan dadah, rasuah

MANILA: Polis Filipina mencadangkan bekas ketuanya, Jeneral Oscar Albayalde didakwa atas tuduhan rasuah dan dadah berhubung skandal baharu yang meletakkan kempen anti-dadah Presiden Rodrigo Duterte menjadi tumpuan.

Polis berdepan tuduhan sesetengah pegawainya terbabit dalam perdagangan dadah dan mereka dilindungi Albayalde.

Ia adalah kontroversi terbaharu melingkari pasukan polis Filipina, yang melancarkan perang dadah diterajui Duterte pada 2016. Pihak berkuasa berkata, mereka membunuh lebih 5,500 suspek dadah namun kumpulan hak asasi manusia berkata, angka sebenar adalah empat kali ganda lebih tinggi.

Tuduhan polis dilingkari rasuah dan penderaan bukan luar biasa di Filipina dengan Duterte mengarahkan polis menghentikan kempen anti-dadah dua kali kerana dakwaan rasuah dan pembunuhan oleh pegawainya.

Unit siasatan polis sendiri menggesa jabatan kehakiman supaya mendakwa Albayalde dan 13 lain atas tuduhan rasuah dan melanggar undang-undang anti-dadah negara itu.

Gesaan pendakwaan itu dibuat dua jawatankuasa Senat, yang turut menyiasat pembabitan polis dalam perdagangan haram dadah, mendapati Albayalde terbabit.

Aduan polis berpunca daripada peranan Albayalde sebagai ketua komander unit polis berhampiran ibu kota ini pada 2013 apabila pegawai di bawah seliaannya didakwa merampas dan menjual rampasan narkotik terbesar serta menerima rasuah untuk membebaskan suspek dadah.

Albayalde dituduh seorang bekas pegawai polis campur tangan untuk melindungi pegawainya daripada sekatan. Seorang lagi pegawai bersara mendakwa, Albayalde menerima wang hasil jualan dadah.

Albayalde meletak jawatan minggu lalu sebelum bersara wajib 8 November ini selepas berkhidmat sebagai ketua polis selama lebih setahun. Beliau belum mengeluarkan kenyataan namun berulang kali menafikan salah laku itu.

Pendakwa raya negara itu kini perlu memutuskan sama ada untuk memfailkan tuduhan jenayah atau mengetepikannya.

Pengumuman itu dibuat ketika polis nasional mengumumkan semalam, ia memecat tiga pegawai Polis Nasional Filipina (PNP) yang terbabit dalam satu lagi serbuan kontroversi dadah tahun ini. -AFP

Berita Harian X