Isnin, 21 Oktober 2019 | 8:03pm
PEMANGKU Pengarah pengurusan kebakaran hutan, Raffles Panjaitan.

Kawasan hutan terbakar di Indonesia melebihi 2018

JAKARTA: Keluasan kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan di Indonesia sepanjang September tahun ini melebihi tahun lalu, kata data rasmi kerajaan.

Pemangku Pengarah pengurusan kebakaran hutan, Raffles Panjaitan dari Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar, memberitahu wartawan bahawa menjelang akhir September 2019, sejumlah 857,756 hektar kawasan musnah.

Menurut data itu, ia melebihi keluasan 529,267 hektar kawasan yang musnah pada 2018.

Bagaimanapun, 2015 mencatatkan angka paling tinggi dengan 2.6 juta hektar kawasan terjejas akibat kebakaran hutan.

“Sehingga ke hari ini, pihak bomba masih meneruskan usaha untuk membendung kebakaran dari terus berlarutan,” kata Panjaitan.

Kerajaan Indonesia sejak beberapa bulan lalu berdepan kebakaran hutan di Sumatera dan Borneo mengakibatkan negara berjiran, Malaysia dan Singapura diselubungi jerebu tebal.

Walau beberapa kawasan di Sumatera mula mengalami hujan, ia hanya akan turun sepenuhnya pada pertengahan November ini.

Kebakaran hutan dan tanah bakau di Sumatera dan Borneo lazimnya dikaitkan dengan aktiviti pembersihan hutan untuk tujuan pertanian.

Bagaimanapun, Panjaitan mengingatkan bahawa kes kebakaran di Pulau Jawa juga semakin meningkat termasuk di kawasan hutan simpan.

Agensi Pengurusan Bencana Indonesia berkata, empat pendaki diselamatkan dari Gunung Ranti di Jawa Timur semalam akibat kebakaran hutan. - Reuters

Berita Harian X