Isnin, 21 Oktober 2019 | 1:53pm
Pengasas bersama firma e-hailing, Nadiem Makarim bakal menyertai Kabinet baharu Jokowi. -Foto Reuters

Pengasas bersama Gojek letak jawatan sertai Kabinet Jokowi

JAKARTA: Pengasas bersama firma e-hailing dan pembayaran, Gojek, Nadiem Makarim, meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif (CEO) selepas menerima tawaran menganggotai barisan Kabinet kerajaan baharu pimpinan Presiden Indonesia Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Pelantikannya sejajar dengan keutamaan Jokowi untuk memasukkan golongan profesional dan milenia dalam penggal pemerintahan keduanya.

“Saya berbesar hati diberi peluang untuk menyertai Kabinet,” kata Nadiem kepada media di Istana Presiden. Beliau berkata, jawatannya akan diumumkan Jokowi pada minggu ini.

Media Indonesia mengaitkan Nadiem kepada jawatan mungkin Kementerian Baharu Ekonomi Digital atau Pendidikan. Gojek tidak menjawab ulasan siapa bakal menggantikan tempat Nadiem.

Jokowi mengangkat sumpah untuk penggal keduanya semalam dan berjanji mengumumkan barisan Kabinet baharunya selepas itu.

Pengasas Gojek itu, mengumumkan peletakan jawatannya kepada media hari ini berasal dari sebuah keluarga terkenal Indonesia. Datuknya adalah sebahagian delegasi yang memperoleh kemerdekaan daripada Belanda pada 1949 dalam persidangan di The Hague.

Nadiem memulakan Gojek pada 2010 sebagai pusat panggilang menguruskan kurier di ibu kota ini.

Pada peringkat awal, segala-galanya dilakukan secara manual, pekerja menelefon penunggang motosikal seorang demi seorang sehingga seseorang menerima pesanan dan Nadiem perlu bekerja di syarikat lain bagi mengekalkan Gojek.

Hanya pada 2014, Nadiem memutuskan untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih dengan sokongan daripada pelabur ekuiti persendirian, Northstar Group.

Apabila diperkenalkan pada Januari 2015, perkhidmatan itu amat popular sehingga Gojek tidak dapat memenuhi permintaan, katanya dalam wawancara pada 2016.

Dinilai pada AS$10 bilion (RM41.84 bilion), Gojek pada hari ini memiliki lebih dua juta pemandu dan 400,000 peniaga, sementara aplikasinya dimuat turun lebih 155 juta kali di Asia Tenggara.

Antara pelabur Gojek ialah Google, JD.com dan Tencent Holdings dan dilihat sebagai ikon untuk usahawan Indonesia meningkat naik. -Reuters/Agensi


Iklan Gojek di Singapura. -Foto Reuters

Berita Harian X