Isnin, 21 Oktober 2019 | 1:16pm
Jokowi ketika berdoa selesai mengangkat sumpah jawatan penggal kedua dan terakhirnya sebagai Presiden Indonesia semalam. -Foto Reuters

Kabinet baharu Indonesia mungkin diumum Rabu

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo mungkin menangguhkan pengumuman barisan Kabinet baharunya sehingga pagi Rabu, menurut bekas ketua Mahkamah Perlembagaan, Mahfud MD, yang berkata beliau ditemu ramah untuk jawatannya di istana hari ini.

Mahfud memberitahu media, beliau ditanya Jokowi jika bersedia berkhidmat, namun tidak dimaklumkan jawatan apa.

“Pada Rabu, kami semua dijemput untuk mendengar pengumuman kepada anda semua, kami akan dipanggil seorang demi seorang hari ini,” kata Mahfud kepada Kompas TV di Istana Presiden, menambah majlis angkat sumpah dijadual jam 9 pagi Rabu.

Katanya, beliau membincangkan pelbagai topik daripada politik sehingga penguatkuasaan undang-undang, rasuah, hak asasi manusia dan agama dengan Jokowi.

Semalam, Jokowi berkata, beliau bercadang memperkenalkan menteri dalam Kabinet untuk penggal kedua pagi hari ini. Tiada pengumuman rasmi dibuat berkaitan barisan Kabinet itu.

Beberapa calon potensi lain mengunjungi istana pagi ini termasuk Nadiem Makarim, Ketua Eksekutif (CEO) firma e-hailing dan pembayaran Gojek yang dikaitkan dalam media sebagai calon mungkin dalam Kementerian Ekonomi Digital Baharu atau Pendidikan.

“Saya menerima penghormatan besar menyertai Kabinet Presiden,” kata Nadiem kepada media. Beliau juga meletak jawatan daripada Gojek.

Pengurus kempen pilihan raya Jokowi, Erick Thohir, yang juga pengerusi perniagaan media, Mahaka Media juga berada di Istana.

Presiden Indonesia itu sebelum ini berkata, Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati akan mengekalkan jawatan dalam Kabinet namun tidak memberi butiran lanjut.

Beliau juga bertemu pemimpin pembangkang dan sesetengah media melaporkan mencadangkan Prabowo Subianto, yang menjadi pencabar utamanya mungkin diberi jawatan Menteri Pertahanan. -Reuters

Berita Harian X