Ahad, 20 Oktober 2019 | 4:48pm
Jokowi memulakan penggal baharu dalam gelombang krisis. - Foto Reuters

Penggal baharu Jokowi penuh 'ranjau'

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memulakan penggal baharu dalam gelombang krisis dan Jakarta berada di bawah kawalan ketat selepas cubaan kumpulan militan membunuh menteri keselamatan.

Lebih daripada 30,000 anggota keselamatan dikerah di ibu negara, bimbang serangan baharu dilakukan, ketika upacara angkat sumpah Jokowi, 58 dan Naib Presiden, Ma’ruf Amin, 76, yang dihadiri delegasi luar dan ketua negara, dijadualkan bermula kira-kira 2.30 petang (waktu tempatan) hari ini.

Acara sambutan dijangka dibatalkan susulan demonstrasi diharamkan hari ini, ia susulan kebimbangan terhadap kumpulan militan yang mungkin mengambil kesempatan ketika mereka masih mencari jalan untuk menyerang negara majoriti Islam itu.

Sebelum angkat sumpah, Jokowi melakukan beberapa pertemuan dengan pemimpin luar antaranya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison.

Jokowi penggemar muzik ‘heavy metal’ bekas ahli perniagaan, bukan daripada golongan elit politik dan tentera, dianggap ‘bayangan’ Barack Obama ketika kali pertama dilantik pada 2014 untuk memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia.

Bagaimanapun, kepimpinannya ketika ini berdepan pelbagai kritikan susulan beberapa kejadian beberapa bulan kebelakangan ini, antaranya demonstrasi anti-kerajaan di seluruh negara yang mengorbankan tiga orang pelajar, kebakaran hutan hingga menyebabkan jerebu dan ketegangan politik dengan negara jiran serta rusuhan maut di Papua, ditambah dengan kelembapan ekonomi.

“Ini adalah saat paling lemah dalam kepimpinan politik Jokowi. Ini ujian untuk presiden ketika waktu kritikal,” kata penyelidik di Pusat Pengajian Strategik dan Antarabangsa yang berpusat di Jakarta, Arya Fernandes.

Bantahan pelajar yang berlaku di seluruh negara kepulauan yang mempunyai 260 juta penduduk itu adalah yang terbesar sejak demonstrasi besar-besaran hingga membawa kepada penggulingan pemerintahan Suharto pada 1998. - AFP

Berita Harian X