Ahad, 20 Oktober 2019 | 8:58am
Pelajar sekolah rendah di Solo, Jawa Tengah, memegang poster bagi meraikan pelantikan Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua, di Jakarta, hari ini. Foto AFP

Presiden Joko Widodo mula penggal kedua pentadbiran hari ini

JAKARTA: Joko Widodo atau Jokowi akan memulakan penggal kedua sebagai Presiden Indonesia secara rasmi, hari ini, dalam majlis angkat sumpah yang dikawal ketat lebih 30,000 anggota keselamatan.

Selain Jokowi, 58, turut mengangkat sumpah dalam majlis yang berlangsung di sini, adalah Naib Presiden, Ma’ruf Amin, 76 tahun.

Majlis itu turut menarik kehadiran pemimpin asing, termasuk Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamed dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison.

Justeru, kawalan keselamatan di sekitar Jakarta dipertingkatkan susulan ancaman serangan militan, terutama selepas seorang menteri kanan cedera parah akibat ditikam, baru-baru ini.

Jokowi yang popular dalam kalangan rakyat Indonesia, adalah bekas ahli perniagaan sebelum dilantik sebagai presiden pada 2014.

Beliau terkenal sebagai penggemar muzik heavy metal dan bukan berlatarkan golongan politik dan elit tentera, dianggap sebagai ‘jelmaan’ Barack Obama, bagi memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.

Namun, kepemimpinan Jokowi berdepan pelbagai kritikan dan memaksanya berdepan dengan demonstrasi anti kerajaan dan pembakaran hutan yang mengakibatkan jerebu hingga mencetuskan ketegangan hubungan dengan negara jiran.

Selain itu, isu kemelesetan ekonomi dan keganasan di Papua turut menyebabkan kerajaan pimpinan Jokowi menerima kritikan rakyat.

Terdahulu, pihak berkuasa mengumumkan larangan mengadakan perhimpunan besar-besaran, berikutan kebimbangan ia bakal digunakan oleh pihak militan untuk melancarkan serangan di bandar raya berkenaan. - AFP

Berita Harian X