Isnin, 7 Oktober 2019 | 7:54pm
Hun Sen mengugut mengerah tentera jika pemimpin pembangkang, Sam Rainsy kembali dari dalam buangan untuk menggulingkan Perdana Menteri Kemboja itu. -Foto Reuters

Hun Sen ancam kerah tentera halang pemimpin pembangkang

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja Hun Sen hari ini mengugut mengerah tentera jika pemimpin dan penyokong parti pembangkang utama yang dibubarkan kembali dari dalam buangan bulan depan dalam apa yang dianggap beliau sebagai cubaan rampasan kuasa.

Sekurang-kurangnya 30 aktivis pembangkang ditahan tahun ini dan dituduh berkomplot menggulingkan kerajaan sebelum kepulangan dirancang pengasas Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (CNRP) yang dibubarkan, Sam Rainsy dari dalam buangan, pada 9 November ini.

Dalam satu upacara di ibu kota ini, Hun Sen berkata, kepulangan Rainsy menjadi pendorong pihak yang mahu menggulingkan kerajaannya.

Rainsy membuat gesaan satu kebangkitan menentang pemimpin sekian lama itu. Hun Sen berkata, jika pemimpin dan penyokong pembangkang itu kembali, pengisytiharan itu bermaksud, ‘tentera perlu dikerah dan menggunakan semua jenis senjata.’

“Serang jika kelibat mereka dilihat, tidak perlu menunggu waran tangkap atau tidak. Penyokong akan ditahan bila mereka kelihatan,” katanya.

Tahun lalu, Hun Sen melanjutkan pemerintahan lebih tiga dekadnya dalam satu pilihan raya di mana parti pemerintah pimpinannya menang semua kerusi Parlimen.

CNRP dibubarkan beberapa bulan sebelum pilihan raya oleh Mahkamah Agung, susulan penahanan pemimpin parti, Kem Sokha pada 2017.

Rainsy berkata hari ini, penggulingan Hun Sen sah kerana CNRP dibubarkan dan pemimpin itu tidak bersedia mengadakan pilihan raya bebas dan adil di masa depan. -Reuters

Berita Harian X