Isnin, 7 Oktober 2019 | 11:02am

Pengangkutan awam Hong Kong tergendala susulan demonstrasi

HONG KONG: Hong Kong bergelut untuk kembali pulih hari ini, dengan pengangkutan awam tidak berfungsi sepenuhnya dan infrastruktur rosak teruk, selepas pertempuran ganas tengah malam yang mengundang amaran pertama dari tentera China.

Pengendali kereta api Hong Kong, MRT Corp, hari ini berkata disebabkan vandalisme teruk, kebanyakan stesen rangkaian itu ditutup buat sementara.

Ia termasuk di stesen yang selalunya sibuk seperti Admiralty dan Wan Chai.

Pengumuman MRT menyusul penutupan tidak pernah dilakukan kelmarin dan operasi minimum semalam, yang melumpuhkan sebahagian besar Hong Kong.

Rangkaian pengangkutan itu, yang membawa lima juta penumpang sehari, ditutup pada jam 6.00 petang, lebih empat jam lebih awal daripada kebiasaan, untuk membolehkan kerja baik pulih.

Kedai runtuh yang ditutup awal semalam, kebanyakannya sudah beroperasi pagi ini.

Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak secara aman di pusat bandar raya itu semalam, memakai topeng muka, mencabar kuasa darurat yang mengancam mereka dengan hukuman maksimum satu tahun penjara kerana menutup muka.

Bagaimanapun, perhimpunan bertukar menjadi pertempuran sebaik malam.

Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan cota dalam usaha menyuraikan penunjuk perasaan yang membaling bom petrol di beberapa lokasi di seluruh hab kewangan Asia itu.

Ramai penunjuk perasaan ditahan dan diusir menurut undang-undang darurat baharu, yang berkuat kuasa pada Jumaat malam, selepas beberapa pertempuran paling ganas dalam bantahan selama empat bulan itu melumpuhkan bandar raya itu kelmarin. — Reuters

Berita Harian X