Sabtu, 5 Oktober 2019 | 1:19pm
Singapura gantung import telur puyuh dari Malaysia. Foto hiasan

Singapura gantung import telur puyuh dari Malaysia

SINGAPURA: Kerajaan Singapura menggantung import telur puyuh dari Malaysia, yang membekalkan 20 peratus daripada bekalan diperlukan negara itu, berikutan penemuan sisa dadah pada produk berkenaan.

Agensi Makanan Singapura (SFA) ketika memaklumkan keputusan itu kepada CNA, semalam, berkata penggantungan import dari ladang Telic Farm di Malaysia, dibuat selepas menemui dadah nicarbazin dalam telur puyuh, bulan lalu.

Dadah nicarbazin berperanan menghalang jangkitan penyakit parasit di dalam ternakan unggas.

Menurut Todayonline, pekeliling mengenai penggantungan sudah dipaparkan pada laman web SFA pada Isnin lalu.

“Penggantungan itu adalah sehingga SFA mendapat pengesahan, bahawa ladang terbabit sudah mengambil langkah sewajarnya, bagi memastikan telur yang dikeluarkan tidak mengandungi sisa dadah, serta selamat untuk manusia,” kata agensi ketika menjawab pertanyaan daripada CNA.

SFA berkata, Singapura mendapatkan bekalan telur puyuh segar dan sudah diproses dari beberapa negara, seperti Malaysia, China, Taiwan dan Vietnam, selain dibekalkan oleh penternak tempatan.

Sepanjang tahun lalu, Telic Farm mengeksport kira-kira 17 juta telur puyuh segar ke Singapura.

“Ia adalah kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan bekalan telur puyuh yang diperlukan Singapura,” kata SFA. -Agensi

Berita Harian X