Jumaat, 4 Oktober 2019 | 7:30pm
Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) berkata, hampir lima juta babi di Asia mati atau dibunuh awal tahun ini kerana jangkitan wabak demam babi Afrika. -Foto Agensi

Timor Leste dilanda wabak demam babi Afrika

DILI: Timor Leste semalam mengesahkan ratusan ternakannya mati akibat wabak demam babi Afrika selepas penyakit itu membunuh jutaan babi dari China hingga ke Slovakia.

Negara kepulauan kecil terletak antara Indonesia dan Australia itu berkata, 400 ternakan babinya mati sejak dua minggu lalu.

Kementerian Pertanian Timor Leste berkata, ia bekerja sama dengan rakannya di Australia untuk menyiasat penyebaran wabak itu.

“Sejak 19 September, kementerian mengumpul maklumat mengenai kematian 400 ekor babi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Virus itu tidak berbahaya kepada manusia namun menyebabkan demam berdarah di kalangan babi sehingga membawa maut.

Tiada penawar atau vaksin dan satu-satunya cara membendung wabak daripada merebak ialah pembunuhan ternakan secara besar-besaran.

Bulan lalu, Korea Selatan melaporkan kes pertama demam babi Afrika sementara ternakan China berkurangan 40 peratus akibat jangkitan.

Awal tahun ini, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) berkata, hampir lima juta babi di Asia mati atau dibunuh kerana penyebaran wabak itu. -AFP

Berita Harian X