X
Khamis, 3 Oktober 2019 | 9:27pm
PIHAK berkuasa Indonesia mengesahkan lebih 11,500 orang sudah dipindahkan dari bandar Wamena di wilayah paling timur Papua. - Foto Reuters
PIHAK berkuasa Indonesia mengesahkan lebih 11,500 orang sudah dipindahkan dari bandar Wamena di wilayah paling timur Papua. - Foto Reuters

11,500 penduduk pindah dari Papua

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan, lebih 11,500 penduduk sudah dipindahkan dari bandar Wamena di wilayah paling timur Papua sejak puluhan orang meninggal dunia ketika pertempuran berlaku di kawasan itu, bulan lalu.

Terletak di bahagian barat Pulau New Guinea dan sekian lama berdepan masalah pemberontakan pemisah, Papua merangkumi wilayah dua timur Indonesia dan mempunyai penduduk etnik Melanesia yang berbeza.

Berlaku peningkatan dalam protes dan pergolakan sejak akhir Ogos lalu selepas pelajar Papua di Surabaya, diserang sekumpulan pihak berkuasa yang mendakwa kumpulan pelajar itu menghina bendera Indonesia.

Dalam beberapa pertumpahan darah yang paling buruk sejak beberapa dekad lalu di Papua, 33 orang terbunuh dan sejumlah besar lagi cedera ketika pertempuran di Wamena pada 23 September lalu.

Ketika kejadian itu, pejabat kerajaan, dan rumah dibakar, 250 kereta serta motosikal dimusnahkan dalam pertempuran antara penduduk asal Papua dan pasukan keselamatan.

Kerajaan dan beberapa aktivis bebas Papua mengesahkan, 25 daripada 33 orang yang terbunuh adalah pendatang dari beberapa kawasan di negara itu.

Bekas penduduk Wamena, Erizal, 42, yang dipindahkan berkata, anak dan isterinya meninggal dunia ketika pertempuran itu, dan dia kini trauma untuk kembali ke bandar asalnya.

“Saya berada di kampung, di Padang ketika ini, mungkin saya tidak akan kembali ke Wamena,” katanya menerusi telefon ketika dihubungi di Padang.

Erizal juga mengakui kedai miliknya turut dibakar dalam kejadian itu.

Pegawai Kementerian Sosial Indonesia, Harry Hikmat berkata, antara 23 September sehingga semalam, tentera udara Indonesia sudah memindahkan 7,467 orang dari Wamena dengan menaiki pesawat Hercules, manakala 4,179 orang dipindahkan dengan menaiki penerbangan komersial.

Jurucakap Polis Papua, Ahmad Musthofa Kamal berkata, situasi di Wamena ketika ini stabil dan beberapa kedai serta pasar sudah mula dibuka. - Reuters

Berita Harian X