Sabtu, 28 September 2019 | 10:37am
ACARA solat dan berdoa besar-besaran bagi menyambut ulang tahun pertama tragedi gempa bumi Palu yang meragut lebih 4,000 nyawa. - Foto AFP
ACARA solat dan berdoa besar-besaran bagi menyambut ulang tahun pertama tragedi gempa bumi Palu yang meragut lebih 4,000 nyawa. - Foto AFP

Indonesia sambut ulang tahun pertama tragedi Palu

JAKARTA: Indonesia hari ini menyambut ulang tahun pertama tragedi gempa bumi Palu yang meragut lebih 4,000 nyawa.

Acara solat dan berdoa besar-besaran dijangka diadakan lewat hari ini, bagi memperingati mangsa gempa bumi berukuran 7.5 itu yang memusnahkan sebahagian besar bandar pinggir pantai di kepulauan Sulawesi, September tahun lalu.

Menurut Persatuan Palang Merah, kira-kira 4,000 penduduk disahkan sebagai mati atau hilang manakala hampir 60,000 lagi masih menetap di pusat perlindungan sementara selepas kediaman mereka musnah sama sekali.

Kesan gegaran akibat gempa itu menyaksikan seluruh kawasan kejiranan seakan lembik, iaitu proses apabila bumi seolah menjadi cecair dan menelan keseluruhan permukaan seperti tanah jerlus.

Ia turut memusnahkan bot nelayan, kedai dan sistem perparitan, sekali gus meragut semua mata pencarian komuniti setempat.

Kumpulan Save the Children dalam satu kenyataan hari ini berkata, ratusan sekolah yang musnah masih tidak dibaiki dan terlalu berbahaya untuk digunakan, memaksa kanak-kanak saling bergilir-gilir menghadiri kelas kerana kekurangan premis sesuai.

Terdahulu, Bank Dunia menawarkan pinjaman sehingga ASD1 bilion (RM4.19 bilion) kepada Indonesia bagi membantu menggerakkan semula bandar terbabit.

Indonesia adalah antara negara di dunia yang terdedah kepada pelbagai bencana alam kerana berada di dalam Lingkaran Api Pasifik.

Gugusan negara ASEAN itu turut memiliki lebih daripada 100 gunung berapi, termasuk satu yang meletup akhir tahun lalu dan menghasilkan tsunami sehingga meragut lebih 400 nyawa.

Sehari selepas Krismas pada 2004, satu gempa bumi berukuran 9.1 melanda luar persisiran Sumatera dan menghasilkan tsunami yang meragut 220,000 nyawa, termasuk 170,000 di Indonesia. - AFP

Berita Harian X