Isnin, 23 September 2019 | 9:17pm
Agensi pengurusan bencana Indonesia berkata, lebih 320,000 hektar hutan terbakar dari Januari hingga Ogos, tahun ini, ia adalah kerosakan terburuk terhadap hutan, sejak 2015. - Foto AFP
Agensi pengurusan bencana Indonesia berkata, lebih 320,000 hektar hutan terbakar dari Januari hingga Ogos, tahun ini, ia adalah kerosakan terburuk terhadap hutan, sejak 2015. - Foto AFP

Pembakar hutan Indonesia berdepan hukuman lebih berat

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia sedang mengkaji hukuman lebih berat terhadap syarikat yang didapati membakar hutan dan tanah gambut, menurut pegawai kementerian alam sekitar, ketika negara itu berdepan kebakaran hutan dan jerebu terburuk, sejak 2015.

Negara itu bertungkus-lumus selama berbulan-bulan memadamkan kebakaran yang sering disebabkan amalan pertanian tebang dan bakar.

Fenomena cuaca El Nino turut memburukkan lagi musim panas tahunan dan menyumbang kepada jerebu teruk di seluruh rantau Asia Tenggara.

Ketua pengarah penguatkuasaan di kementerian alam sekitar, Rasio Ridho Sani memaklumkan antara hukuman lebih berat yang dipertimbangkan kerajaan termasuk menggunakan undang-undang penggubahan wang haram terhadap mereka yang membakar kawasan hutan.

Undang-undang itu membolehkan keuntungan syarikat atau individu yang meraih manfaat daripada tindakan membakar tanah secara sengaja disita, katanya.

Kerajaan sudah menyita kawasan terbakar yang dikawal 52 syarikat, kata Sani dan pihak berkuasa sedang menyiasat lima syarikat atas dakwaan memulakan kebakaran atau cuai mengawal kebakaran dalam kawasan sendiri.

Syarikat minyak sawit dan perkayuan sering dikaitkan dengan pembakaran hutan.

Agensi pengurusan bencana Indonesia berkata, lebih 320,000 hektar hutan terbakar dari Januari hingga Ogos, tahun ini, ia adalah kerosakan terburuk terhadap hutan, sejak 2015. - Reuters

Berita Harian X