Ahad, 22 September 2019 | 2:52pm
PENDUDUK di Kampung Pulau Mentaro di Muaro Jambi, dikejutkan dengan fenomena langit merah. - Foto ihsan Kompas.com

Fenomena langit merah di Jambi gemparkan penduduk

JAMBI: Penduduk di Kampung Pulau Mentaro di Muaro Jambi, dikejutkan dengan fenomena langit merah semalam.

Seorang penduduk tempatan, Mardiana, berkata perubahan warna langit menjadi merah itu berlaku kira-kira jam 10.42 pagi hingga 2.00 petang waktu tempatan semalam.

Ketua sementara Pusat Data dan Makulmat di Pengurusan Jabatan Bencana Kebangsaan, Agus Wibowo Soetarno, berkata warna merah itu muncul kerana pergerakan kabut dari tompok panas.

“Warna merah itu adalah jerebu yang berpindah dari tompok panas di wilayah Riau.

“Tompok panas itu sudah wujud sejak pertengahan Ogos,” katanya.

Sementara itu, pakar kaji bintang amatur Indonesua, Marufin Sudibyo, menjelaskan fenomena langit merah itu bukan disebabkan suhu tinggi atau pengaruh api.

“Ini adalah fenomena Rayleigh Scattering iaitu penyebaran elastik cahaya oleh zarah mikro atau nano dalam udara yang lebih kecil berbanding panjang gelombang cahaya yang kelihatan,” kata Marufin ketika ditanya secara berasingan semalam.

Beliau mendedahkan fenomena itu adalah perkara biasa.

Alasannya adalah fenomena Rayleigh menyebabkan langit menjadi biru pada waktu siang dan bertukar merah ketika senja atau subuh.

“Dalam kes di Jambi, kepadatan zarah mikro atau nano dalam udara cukup besar untuk menjadi lebih padat berbanding kepekatan partikel dalam udara biasa,” katanya.

Namun katanya, fenomena langit merah itu tidak memberi kesan kepada kesihatan mata. — Agensi

Berita Harian X