Isnin, 16 September 2019 | 10:05pm
Keadaan jerebu menyebabkan Indonesia menutup lebih banyak sekolah di beberapa kawasan di Pulau Borneo dan Sumatera. - Foto AFP
Keadaan jerebu menyebabkan Indonesia menutup lebih banyak sekolah di beberapa kawasan di Pulau Borneo dan Sumatera. - Foto AFP

Indonesia tutup lebih banyak sekolah

PEKANBARU: Indonesia menutup lebih banyak sekolah di beberapa kawasan di Pulau Borneo dan Sumatera, susulan kejadian kebakaran hutan yang menyebabkan keadaan jerebu semakin teruk.

Pada masa sama, pihak berkuasa turut menyediakan bekalan oksigen di beberapa pusat kesihatan untuk membantu mengubati ribuan pesakit yang mengalami masalah pernafasan akibat asap disebabkan kebakaran hutan.

Kebanyakan sekolah di dua bandar utama di Kalimantan Tengah sudah ditutup dua minggu lalu kerana bimbang dengan pencemaran udara, beberapa sekolah di Riau juga sudah ditutup.

Gabenor Kalimantan Barat, Sutarmidji turut menutup beberapa sekolah di wilayah itu sehingga Rabu, berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan hari ini.

Agensi Ketua Kesihatan Riau, Mimi Nazir berkata, wilayah Sumatera sudah membuka 12 pusat sementara di ibu kota Pekanbaru untuk merawat mereka yang mengalami masalah pernafasan.

“Jika mana-mana individu yang memerlukan bantuan, mereka boleh datang ke pusat yang disediakan. Terdapat oksigen, kakitangan perubatan dan ubat-ubatan asas serta perkhidmatan kecemasan disediakan,” kata Nazir Mimi menerusi telefon sambil menambah, jika ada yang memerlukan rawatan lanjut mereka akan dirujuk ke hospital.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Indonesia, jangkitan sistem pernafasan akut menjejaskan 11,758 orang di Palangka Raya, 15,346 di Riau dan 15,047 di Jambi.

Pada masa sama, kementerian itu turut mengagihkan lebih 1.2 juta topeng di kawasan terjejas termasuk 1,000 alat bantuan pernafasan. - Reuters

Berita Harian X