Khamis, 12 September 2019 | 1:35pm
Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika menziarahi jenazah BJ Habibie di kediamannya di Jakarta Selatan, hari ini. Foto AFP

Jokowi ketuai upacara pengebumian BJ Habibie

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) akan mengetuai upacara pengebumian bekas presiden, Bacharuddin Jusuf Habibir (BJ Habibie) yang dijangka bermula pada jam 2 petang (waktu tempatan), di tanah perkuburan wira Kalibata di Jakarta Selatan, hari ini.

Presiden ketiga Indonesia itu meninggal dunia pada usia 83 tahun, semalam, di Hospital Tentera Gatot Soebroto (RSPAD) selepas menerima rawatan sejak 8 September lalu akibat masalah jantung.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh setiausaha peribadinya, Rubijanto, upacara pengebumian BJ Habibie bakal dihadiri Naib Presiden, Juruf Kalla dan isteri, Komander Tentera Nasional Indonesia (TNI), Hadi Tjahjanto dan Ketua Polis Indonesia, Jeneral Tito Karnavian.

Agensi berita ANTARA melaporkan, jenazah BJ Habibie yang kini berada di kediamannya di Jalan Patra Kuningan, Jakarta Selatan akan diserahkan kepada kerajaan dalam satu upacara yang diketuai oleh anggota Majlis Penasihat Presiden, Jeneral (Bersara), Agum Gumelar.

Jenazah BJ Habibie kemudiannya akan dibawa ke tanah perkuburan wira Kalibata, menggunakan laluan Taman Patra Kuningan, Patra Kuningan Utara, HR Rasuna Said, Jenderal Gatot Soebroto, Pasar Minggu dan berakhir di Kalibata.

Allahyarham akan dikebumikan di sebelah kubur isterinya, Hasri Ainun Habibie yang meninggal dunia pada 2010. - Agensi

Berita Harian X