Selasa, 10 September 2019 | 5:04pm
Pencakar langit di Jakarta diselubungi jerebu. - Foto AFP

Ratusan sekolah di Asia Tenggara ditutup susulan jerebu

JAKARTA: Ratusan sekolah di seluruh Asia Tenggara terpaksa ditutup susulan jerebu akibat kebakaran besar di sebahagian besar kawasan hutan hujan Indonesia, kata pegawai hari ini.

Kawasan besar hutan di Sumatera dan Borneo terbakar ketika ribuan anggota bomba berusaha mengekang api, yang kerap dimulakan untuk membersihkan ladang untuk menanam tanaman.

Pembakaran hutan untuk membuka jalan bagi perladangan juga dikatakan menjadi dalang kebakaran besar yang kini berlaku di Amazon di Amerika Selatan, dan pakar percaya ia memberi impak serius kepada iklim global.

Di Indonesia, beberapa tompok panas, kawasan berisiko terbakar, merebak ke beberapa bahagian lain, termasuk di Borneo yang dikongsi negara itu dengan

Kualiti udara merosot ke paras tidak sihat di dan sekitar Kuala Lumpur, menurut indeks pencemaran udara kerajaan, dan langit diselubungi kabut tebal, manakala jerebu turut melanda Singapura.

Bau daun terbakar memenuhi udara, dan penduduk menderita masalah pernafasan dan mengadu gatal dan sakit mata.

Sekitar 400 sekolah ditutup hari ini di sembilan daerah di Sarawak, dengan lebih 150,000 pelajar terjejas, menurut jabatan pendidikan tempatan.


Pandangan umum menunjukkan jerebu yang disebabkan oleh kebakaran hutan di Sungai Musi di Palembang, Sumatera Selatan. - Foto AFP

Di wilayah Jambi di Sumatera, beberapa tadika ditutup sehingga Jumaat ini, manakala sekolah rendah dan sekolah menengah rendah juga ditutup sementara, menurut pihak berkuasa tempatan, tetapi tidak memberikan jumlah sebenar.

Datuk Bandar Jambi, Syarif Fasha, menggesa penduduk memakai topeng muka manakala agensi pengurusan bencana Malaysia berkata ia akan menghantar setengah juga topeng kepada jawatankuasa bencana negeri Sarawak.


Keadaan sekitar bandaraya Kuching dengan kualiti udara menunjukkan tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 2 petang pada peringkat tidak sihat iaitu 138 menunjukkan penurunan disebabkan kurang pergerakan angin dari Kalimantan membawa jerebu teruk dari wilayah itu ke Sarawak. - Foto Mohd Radzi Bujang

Semalam, Malaysia berkata ia sedia melakukan pembenihan awan untuk menghasilkan hujan dan membersihkan udara dengan membebaskan bahan kimia tertentu ke dalam awan, walaupun sebahagian pakar mempersoalkan keberkesanannya.

Pihak berkuasa Indonesia mengerah ratusan kakitangan tambahan sejak bulan lalu untuk mengelakkan kebakaran pada 2015, yang paling buruk dalam masa dua dekad, menyebabkan rantau itu dilanda jerebu beberapa minggu dan mencetuskan perbalahan diplomatik.

Susulan tekanan negara jiran, Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, bulan lalu memberi amaran akan memecat pegawai jika gagal menangani kebakaran hutan.

Bilangan tompok panas dengan potensi sederhana hingga tinggi untuk terbakar meningkat hampir tujuh kali ganda kepada 6,312 dalam masa empat hari bulan ini, menurut agensi bencana kebangsaan Indonesia. — AFP

1589 dibaca
Berita Harian X