Sabtu, 7 September 2019 | 8:54pm
Kediaman milik mendiang Lee Kuan Yew di Jalan Oxley, Singapura. Foto Agensi

Artikel jejas reputasi, imej PM Singapura: peguam

Singapura: Peguam Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam saman fitnah terhadap pengarang The Online Citizen (TOC), mendakwa artikel yang diterbitkan oleh laman web itu mengandungi pelbagai tuduhan palsu dan tidak berasas.

Antaranya, kenyataan bahawa Hsien Loong cuba mengelirukan mendiang bapanya, Lee Kuan Yew, apabila menganggap hartanah milik mereka di Jalan Oxley sudah diwartakan oleh Kerajaan Singapura.

Today Online melaporkan, peguam daripada Davinder Singh Chambers LLC dalam kenyataannya, turut menggariskan beberapa alasan ketika mengemukakan tuntutan mahkamah terhadap Terry Xu, antara reputasi dan imej Hsien Loong terjejas teruk, hingga menimbulkan skandal, kebencian dan penghinaan daripada orang ramai.

Kenyataan dan writ saman berkenaan diserahkan kepada Xu di kediamannya pada Khamis lalu, oleh beberapa peguam Hsien Loong.

Terdahulu, Hsien Loong terbabit dalam pertikaian dengan dua adiknya, Dr Lee Wei Ling dan Mr Lee Hsien Yang, berhubung masa depan rumah keluarga peninggalan bapa mereka, Kuan Yew di Jalan Oxley.

Pada 15 Ogos lalu, TOC buat kali pertama menerbitkan artikel bertajuk ‘PM Lee’s wife Ho Ching weirdly shares article on cutting ties with family members’.

Pautan terhadap artikel itu turut dimuat naik ke laman Facebook platform blog berkenaan.

Berikutan itu, pada 1 Sept lalu, setiausaha akhbar Perdana Menteri Singapura itu, Chang Li Lin mengeluarkan sepucuk surat kepada TOC, menuntut mereka mengeluarkan artikel berkenaan dari laman web mereka, selain pernyataan permohonan maaf.

Dalam surat itu, Li Lin menyifatkan penerbitan artikel itu sebagai satu fitnah bagi menjejaskan imej dan integriti Hsien Loong.

Justeru, artikel itu dikeluarkan daripada laman web tetapi pautan di Facebook masih dikekalkan.

Xu dalam maklum balas pada 4 September lalu berpendapat artikel itu bukan satu fitnah dan tidak akan memenuhi tuntutan perdana menteri berkenaan.

Malah, Xu menegaskan bahawa beliau hanya menerbitkan semula kenyataan yang dibuat oleh adik-beradik Hsien Loong. - Agensi

1570 dibaca
Berita Harian X