X
Rabu, 28 Ogos 2019 | 4:18pm

Enam perusuh Papua maut ditembak polis

JAKARTA : Pihak berkuasa Indonesia melepaskan tembakan ke arah peserta tunjuk perasaan di Papua, menyebabkan enam orang maut ketika mereka cuba menyerbu bangunan pejabat kerajaan tempatan di Deiyay hari ini, lapor laman web berita Suarapapua.com, memetik kenyataan jurucakap kumpulan pemisah.

“Tembakan masih berlaku ketika ini, kami tidak tahu berapa ramai mangsa yang terbabit,” kata eksekutif Gerakan Pembebasan Bersatu untuk Papua Barat, Markus Haluk melalui telefon.

Jurucakap polis nasional, Dedi Prasetyo menepis laporan media berhubung kematian peserta demonstrasi dan menyifatkan ia sebagai satu provokasi, sambil menambah, hanya maklumat daripada polis yang boleh dipercayai.

Jurucakap tentera Papua, Eko Daryanto berkata, beberapa pegawai diserang menggunakan anak panah oleh perusuh.

“Kami tidak tahu jumlah sebenar mangsa kerana komunikasi amat terhad dari sana,” katanya.

Ribuan rakyat Papua mengadakan tunjuk perasaan semalam susulan diskriminasi etnik sejak minggu lalu, dengan perusuh membakar pasar, penjara dan pejabat kerajaan.

Ia dicetuskan oleh penghinaan berbaur perkauman ke atas pelajar Papua yang diserang dengan gas pemedih mata di asrama dan ditahan di Surabaya pada 17 Ogos.

Kira-kira 1,200 anggota polis terbang ke rantau itu yang sememang padat dengan anggota tentera berikutan konflik bersama kumpulan tentera sejak berdekad lalu.

Jakarta turut memotong akses internet di rantau itu sejak minggu lalu bagi mengelakkan orang ramai berkongsi mesej provokatif yang boleh mencetuskan lebih banyak keganasan. - Reuters

Berita Harian X