X
Rabu, 21 Ogos 2019 | 7:11pm
Penduduk Papua lari menyelamatkan diri dari pasar Buruni selepas penunjuk perasaan bertindak membakar pasar itu ketika bantahan ganas di Fakfak, wilayah Papua Barat, Indonesia, hari ini. -Foto EPA
Penduduk Papua lari menyelamatkan diri dari pasar Buruni selepas penunjuk perasaan bertindak membakar pasar itu ketika bantahan ganas di Fakfak, wilayah Papua Barat, Indonesia, hari ini. -Foto EPA

PBB digesa lawat Papua, Papua Barat susulan protes

JAKARTA: Kesatuan Pergerakan Pembebasan Papua Barat (ULMWP) mengulangi gesaan supaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengunjungi Papua dan Papua Barat susulan isu penghinaan kaum yang mencetuskan bantahan di rantau paling timur Indonesia itu.

Sebelum ini, negara Pasifik daripada Forum Kepulauan Pasifik (PIF) ‘mendesak’ Indonesia memuktamadkan tarikh kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB bagi menyiasat dakwaan penderaan hak asasi manusia serta membenarkan pesuruhjaya berkenaan membuat ‘satu laporan berdasarkan bukti’ berhubung situasi di Papua.

Pengerusi ULMWP, Benny Wenda berkata, ‘penghinaan perkauman ekstrem’ dialami pelajar Papua yang belajar di rantau di luar wilayah itu menunjukkan perlunya kunjungan segera PBB.

“Pada Februari tahun ini, PBB mengutuk ‘diskriminasi dan sikap perkauman mendalam’ dialami penduduk Papua di tangan Indonesia. PBB perlu membuat tindakan susulan.

“Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi PBB Michelle Bachelet perlu dibenarkan melawat Papua Barat. Saya mengulangi gesaan kepada Kepulauan Pasifik untuk Indonesia supaya berhenti menyekat pesuruhjaya daripada melihat realiti di negara kita,” kata Benny dalam satu kenyataan semalam menerusi laporan The Jakarta Post.

Sejak Februari tahun lalu, Indonesia ‘secara prinsipnya’ bersetuju memberi akses di Papua kepada pejabat pesuruhjaya PBB namun kedua-dua pihak masih perlu mengadakan rundingan lanjut.

Pada Jun tahun lalu, Indonesia menegur kakitangan pejabat serantau agensi PBB itu di Bangkok, Thailand kerana ‘secara sebelah pihak menetapkan tarikh dan kawasan untuk dilawati di Papua dan Papua Barat sambil menuntut akses segera.’

Benny mengakhiri kenyataannya dengan berkata, penduduk Papua Barat seharusnya ‘diberi pilihan untuk menentukan nasib mereka sendiri.’ -Agensi

Berita Harian X