X
Selasa, 20 Ogos 2019 | 4:03pm
Pihak berkuasa berkata, 258 banduan melarikan diri daripada sejumlah 547 ditahan dalam penjara, namun sesetengah ditangkap semula, tanpa memberi butiran lanjut. -Foto Agensi
Pihak berkuasa berkata, 258 banduan melarikan diri daripada sejumlah 547 ditahan dalam penjara, namun sesetengah ditangkap semula, tanpa memberi butiran lanjut. -Foto Agensi

Polis Indonesia buru banduan bolos susulan rusuhan di Papua

JAKARTA: Polis Indonesia memburu lebih 250 banduan yang lari dari sebuah penjara di Papua terbakar sehari sebelumnya, ketika gelombang rusuhan awam berlaku secara meluas di seluruh bandar paling timur negara itu.

Penjara di bandar pelabuhan Sorong menjadi sasaran dalam keganasan dicetuskan dakwaan penderaan perkauman dan layanan buruk fizikal penduduk Papua yang melanjutkan pengajian di tempat lain Indonesia.

Penunjuk perasaan turut menyerang bangunan penjara kata seorang jurucakap ketua pengarah kemudahan pemulihan di Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi, Ade Kusmanto.

“Selepas membakar kemudahan pejabat kerajaan serantau, penunjuk perasaan menuju ke penjara dan membaling batu serta memprovokasi banduan,” kata Ade menambah seorang warden penjara cedera dalam rusuhan itu.

Pihak berkuasa berkata, 258 banduan melarikan diri daripada sejumlah 547 ditahan dalam penjara, namun sesetengah ditangkap semula, tanpa memberi butiran lanjut.

Ribuan penduduk Papua berhimpun di jalanan di bandar Sorong, Manokwari dan Jayapura dalam bantahan semalam, menyekat jalan raya, merosakkan sebuah lapangan terbang serta membakar dewan bandaraya.

Bantahan dicetuskan penahanan pelajar Papua di bandar Jawa Timur di Surabaya susulan tuduhan mereka tidak menghormati bendera Indonesia di hadapan asrama ketika sambutan Hari Kemerdekaan Sabtu lalu.

Polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam asrama terbabit sebelum menahan 43 pelajar, menurut aktivisi yang berkata, pelajar digelar ‘monyet’ ketika operasi itu.

Gabenor Papua, Lukas Enembe berkata semalam, penduduk Papua berang kerana ‘perkataan perkauman digunakan rakyat Jawa Timur, polis dan tentera.’ -Reuters

Berita Harian X