Isnin, 19 Ogos 2019 | 3:24pm
Bangunan parlimen tempatan yang dibakar perusuh. - Foto EPA
Bangunan parlimen tempatan yang dibakar perusuh. - Foto EPA

Rusuhan pelajar Papua, bangunan parlimen dibakar

JAKARTA: Perusuh di Papua membakar tayar dan bangunan parlimen tempatan hari ini dalam tunjuk perasaan membantah penahanan sejumlah penuntut Papua, lapor media tempatan.

Gerakan pemisah sekian lama menyelubungi Papua walaupun terdapat kekerapan laporan berhubung pencabulan hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan Indonesia.

Menurut aktivis Papua, kemarahan terbaru itu dicetuskan oleh penahanan sejumlah penuntut Papua di Surabaya, Jawa Timur kerana membengkokkan tiang bendera di hadapan dorm masing-masing ketika menyambut Hari Kebangsaan Indonesia pada 17 Ogos lalu.

Polis menembak gas pemedih mata di dalam bilik asrama sebelum menahan 43 pelajar yang turut digelar sebagai ‘monyet’ oleh pihak berkuasa ketika operasi, kata Albert Mungguar, antara aktivis Papua pada satu sidang media.

Timbalan Gabenor, Mohamad Lakotani berkata, sekumpulan perusuh pagi tadi membakar bangunan parlimen dan menghalang jalan di ibu negeri wilayah Papua Barat, Manokwari menggunakan tayar dan dahan pokok yang dibakar.

“Pusat bandar, pasar, pelabuhan semuanya berada bersebelahan bangunan parlimen, selain pusat beli belah. Segalanya terjejas. Sebenarnya seluruh bandar tidak berfungsi ketika ini, jika tidak lumpuh sepenuhnya,” kata Lakotani.

Rakaman televisyen turut memaparkan sekumpulan 150 prang berarak di jalan sekitar Manokwari, selain kepulan asap menjulang dari bangunan parlimen.

Gabenor Papua, Lukas Enember berkata penduduk wilayah berkenaan berang dengan penggunaan perkataan berbaur perkauman digunakan masyarakat Jawa Timur, polis dan tentera terhadap mereka. - Reuters

Berita Harian X