Isnin, 5 Ogos 2019 | 3:43pm
Jokowi mengkritik syarikat pengendali PLN yang seharusnya mempunyai rancangan luar jangka sebagai persediaan menghadapi masalah terputus bekalan elektrik. - Foto Reuters
Jokowi mengkritik syarikat pengendali PLN yang seharusnya mempunyai rancangan luar jangka sebagai persediaan menghadapi masalah terputus bekalan elektrik. - Foto Reuters

Jokowi kritik PLN tiada rancangan luar jangka

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengkritik syarikat pengendali Perusahaan Listrik Negara (PLN) yang seharusnya mempunyai rancangan luar jangka sebagai persediaan menghadapi masalah terputus bekalan elektrik.

Kejadian semalam menjejaskan ibu negara, Jakarta dan beberapa kawasan di Pulau Jawa yang membabitkan lebih 100 juta penduduk.

Jokowi mempersoalkan PLN yang tidak mempunyai rancangan luar jangka sejak kali terakhir kejadian bekalan elektrik terputus.

“Perkara yang boleh menjejaskan ramai tidak seharusnya berulang di masa depan,” kata Jokowi kepada pihak pengurusan ketika lawatan beliau ke ibu pejabat PLN.

“Apa yang penting adalah saya sudah mengarahkan keadaan dipulihkan segera,” katanya.

Bekalan elektrik yang terputus semalam menjejaskan ibu negara, Jakarta dan beberapa kawasan di Pulau Jawa yang membabitkan lebih 100 juta penduduk. - Foto Reuters
Bekalan elektrik yang terputus semalam menjejaskan ibu negara, Jakarta dan beberapa kawasan di Pulau Jawa yang membabitkan lebih 100 juta penduduk. - Foto Reuters

Jakarta sebagai pusat pemerintahan dan perniagaan di Indonesia, mengalami masalah bekalan elektrik yang biasanya berpanjangan dan membabitkan beberapa kawasan.

Menurut PLN, bekalan terputus selepas berlaku kerosakan litar transmisi menyebabkan gangguan aliran voltan daripada stesen jana kuasa menyebabkan terputus bekalan ke bahagian barat Pulau Jawa.

Masalah terputus bekalan terbabit adalah yang paling serius sejak kegagalan transmisi utama yang menjejaskan bekalan ke Jawa dan Bali pada 2005.

Masalah bekalan juga menjejaskan pengangkutan seperti sistem mass rapid transit (MRT) dan komuter ke kawasan sekitar, menyebabkan penumpang yang mahu bertukar tren terkandas.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PLN, Sripeni Inten Cahyani berkata, operasi pemulihan sedang berjalan dan memberi amaran gangguan mungkin berulang sehingga bekalan tenaga dapat dipulihkan sepenuhnya.

“Kami memohon maaf, tetapi sehingga petang ini bekalan akan terputus berulang kali. Harapan kami lebih banyak stesen jana kuasa dapat dipulihkan untuk memastikan lebih banyak kawasan dapat bekalan.

PLN memerlukan lebih masa untuk memulihkan keadaan disebabkan stesen jana kuasa arang batu yang menjadi pembekalan tenaga utama ke Pulau Jawa perlu dihidupkan semula, selepas mengalami masalah yang lama. - Reuters

Berita Harian X