Sabtu, 27 Julai 2019 | 9:51am

8 maut, 60 cedera dua gempa bumi landa Filipina

MANILA: Lapan maut dan puluhan lagi cedera apabila dua gempa bumi menggegarkan gugusan kepulauan di utara Filipina awal pagi ini ketika penduduk masih tidur, kata pegawai.

Kedua-dua gempa melanda wilayah Batanes, gugusan kepulauan kecil tidak ramai penghuni di utara Pulau Luzon.

Penduduk yang ketakutan meninggalkan kediaman mereka dan imej dalam media Filipina menunjukkan rumah batu runtuh selain retakan dalam di jalan raya.

Gempa bumi berukuran 5.4 dan 5.9 magnitud berlaku selang beberapa jam, menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS). Tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Ramai penduduk masih tidur ketika gempa bumi pertama berlaku kira-kira jam 4.15 pagi waktu tempatan, diikuti tidak sampai empat jam kemudian oleh gegaran kedua yang lebih kuat.

Datuk Bandar Raul de Sagon memberitahu, lapan maut dan 60 lagi cedera.

Anggota polis berpangkat Sarjan, Uzi Villa, menambah masa gempa bumi berlaku menunjukkan ramai penduduk berada di rumah ketika gegaran pertama berlaku.

“Kami lihat rumah bergoyang. Sebahagian dinding rumah runtuh dan jatuh ke atas mangsa.

“Sebahagian lagi mangsa meninggal dunia kerana masih tidur nyenyak berikutan hari masih terlalu awal,” katanya.

Gempa bumi teruk terbaharu berlaku di negara itu adalah pada April lalu apabila 11 terbunuh dan pasar raya runtuh dalam gegaran berukuran 6.3 magnitud di utara Manila.

Berita Harian X