Sabtu, 11 Mei 2019 | 5:51pm
AKTIVIS wanita, Vu Thi Dung dan Nguyen Thi Ngoc Suong di penjara kerana menyiarkan propaganda anti-Vietnam.
AKTIVIS wanita, Vu Thi Dung dan Nguyen Thi Ngoc Suong di penjara kerana menyiarkan propaganda anti-Vietnam.

Dua aktivis dipenjara siar propaganda di Facebook

HANOI: Mahkamah Vietnam menjatuhkan hukuman penjara ke atas dua orang aktivis wanita kerana menyiarkan propaganda anti-negara yang diperintah komunis itu, lapor media tempatan.

Akhbar People Police melaporkan, Vu Thi Dung dan Nguyen Thi Ngoc Suong dijatuhi hukuman penjara masing-masing enam dan lima tahun kerana menyiarkan rakaman video dan artikel di Facebook menentang cadangan zon ekonomi khas dan undang-undang keselamatan siber.

Mahkamah di selatan negara itu mendapati kedua-dua mereka bersalah kerana ‘membuat, mengiklankan dan menyebarkan maklumat propaganda, dokumen dan bahan menentang Republik Sosialis Vietnam.

Kedua-dua wanita itu adalah pesalah baharu yang berdepan tindakan tegas terhadap orang awam yang melanggar undang-undang keselamatan siber yang memerlukan syarikat internet menyerahkan data dan menghapuskan kandungan jika diminta oleh kerajaan untuk berbuat demikian.

Zon ekonomi khas yang dicadangkan itu juga sangat sensitif dan mencetuskan bantahan yang berlaku di seluruh negara tahun lalu hingga menyebabkan balai polis dan pejabat kerajaan digeledah.

Media bebas diharamkan di Vietnam, semua jenis entri, komen dan kritikan dipantau secara ketat. Semua penulis blog, aktivis dan peguam hak asasi kerap dipenjara.

Berdasarkan data AFP, sejak 2016 pemimpin tegas mengambil alih pentadbiran, tindakan keras diambil terhadap penentang dan hampir 60 orang dipenjara sejak tahun lalu. - AFP

Berita Harian X