Khamis, 9 Mei 2019 | 2:59pm
Salah satu masjid yang terdapat di Jakarta. - Foto AFP
Salah satu masjid yang terdapat di Jakarta. - Foto AFP

Blitar had masa siar tadarus guna pembesar suara

JAKARTA: Pihak berkuasa wilayah Blitar di Jawa Timur mengarahkan masjid tidak menyiarkan tadarus al-Quran menerusi pembesar suara selepas jam 10.00 malam sepanjang Ramadan.

Larangan itu ditetapkan dalam pekeliling pentadbiran bandar raya menurut pemangku ketua Unit Pegawai Arahan Umum Blitar, Juari.

“Selepas jam 10.00, tadarus masih boleh dilakukan tetapi tidak disiarkan menerusi pembesar suara,” kata Juari, menambah pekeliling itu sudah dihantar kepada pengurusan masjid seluruh bandar raya itu.

Pekeliling itu, kata Juari, mendapat sambutan baik daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pengurusan masjid.

Katanya, penduduk perlukan rehat kerana kebanyakan mereka berpuasa.

“Jadi, pihak berkenaan mengehadkan masa penggunaan pembesar suara,” katanya.

Sepanjang Ramadan, bandar raya Blitar juga mengharamkan persembahan muzik secara langsung dan penjualan arak di kafe, hotel dan pusat hiburan lain.

“Pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap kafe yang menjual alkohol,” kata Juari, menambah rondaan rutin akan diadakan untuk memantau bandar raya berkenaan sepanjang Ramadan. — Agensi

Berita Harian X