Selasa, 7 Mei 2019 | 6:22pm

Indonesia gagalkan rancangan pengeboman

JAKARTA: Indonesia menggagalkan usaha dilakukan militan berkaitan Daesh untuk melancarkan siri pengeboman ketika ia mengumumkan keputusan pilihan raya rasmi bulan ini, kata pihak berkuasa.

Polis Indonesia, semalam berkata mereka menahan lapan suspek di beberapa lokasi sejak minggu lalu, termasuk di Sumatera dan berhampiran Jakarta.

Tangkapan dibuat selepas pengeboman nekad ketika sambutan Easter yang membunuh 257 di Sri Lanka, dan ketika Indonesia menyambut ulang tahun serangan pengganas paling buruk dalam masa beberapa tahun, yang menyaksikan 12 maut di gereja yang disasarkan pengebom nekad Daesh Mei lalu.

Pihak berkuasa berkata, militan yang ditahan ialah anggota Jemaah Anshurat Daulah (JAD), kumpulan tempatan yang berjanji taat setia kepada Daesh dan dipersalahkan di atas pengeboman gereja tahun lalu.

Kumpulan itu bercadang meletupkan bom di pelbagai lokasi ketika negara itu menyiarkan keputusan pilihan raya pada 22 Mei.

Ada kebimbangan mengenai tunjuk perasaan jalanan selepas calon pilihan raya, Prabowo Subianto, memberi amaran bantahan akan berlaku berhubung dakwaan penipuan pilihan raya besar-besaran.

Jurucakap polis, Dedi Prasetyo, berkata sel pengganas itu bercadang mensasarkan balai polis dan mengambil peluang kekecohan yang berlaku sebelum atau selepas keputusan disahkan.

“Mereka ada dua matlamat, pertama mensasarkan pegawai polis dan kedua, mengeksploitasi momentum pilihan raya,” katanya. — AFP

Berita Harian X