X
Rabu, 20 March 2019 | 12:11pm
Jokowi jauh meninggalkan pencabarnya, Prabowo Subianto, beberapa minggu menjelang proses pengundian minggu hadapan. - Foto AFP
Jokowi jauh meninggalkan pencabarnya, Prabowo Subianto, beberapa minggu menjelang proses pengundian minggu hadapan. - Foto AFP

Jokowi jauh tinggalkan pencabar

JAKARTA: Tinjauan pendapat baru mengenai pilihan raya Indonesia menunjukkan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo jauh meninggalkan pencabarnya, Prabowo Subianto, beberapa minggu menjelang proses pengundian minggu hadapan.

Pilihan raya 17 April ini adalah gambaran semula persaingan 2014, yang menyaksikan semula Jokowi menewaskan Prabowo dengan hampir enam peratus mata.

Tinjauan oleh Litbang Kompas, sebahagian daripada akhbar terbesar Indonesia, Kompas, menunjukkan Jokowi berkemungkinan menang 49.2 peratus undian, mengatasi Prabowo yang memperoleh 37.4 peratus.

Walaupun mendahului dengan dua digit, jurang dalam tinjauan antara 22 Februari dan 5 Mac lebih dekat berbanding tinjauan Kompas pada Oktober lalu yang memberikan Jokowi 19.1 peratus mendahului pencabarnya.

Tinjauan pada Januari lalu oleh syarikat lain, termasuk Penyelidik dan Perunding Saiful Mujani dan firma beribu pejabat di Australia, Ray Morgan, menunjukkan Jokowi memiliki kelebihan 20 peratus berbanding Prabowo.

Pasukan kempen presiden yakin beliau akan menang dengan jurang besar, kata jurucakapnya, Meutya Hafid.

“Ada beberapa petunjuk bagaimana undian untuk Jokowi akan lebih tinggi berbanding 2014.

“Jokowi akan mendapat undian dari tempat yang selalunya adalah kubu kuat Prabowo seperti Jawa Barat,” katanya, merujuk kepada wilayah paling padat di Indonesia. — Reuters

Berita Harian X