Rabu, 6 March 2019 | 9:58pm
JUTAWAN durian di Thailand, Anon Rodthong (kiri), umum pencarian suami untuk anaknya, Sabtu lalu. - Foto Facebook/Anon Rodthong
JUTAWAN durian di Thailand, Anon Rodthong (kiri), umum pencarian suami untuk anaknya, Sabtu lalu. - Foto Facebook/Anon Rodthong

10,000 berebut jadi menantu jutawan durian Thailand

BANGKOK: Seramai 10,000 lelaki akan bersaing untuk menjadi menantu seorang jutawan durian di Thailand, Anon Rodthong, selepas beliau mengumumkan pencarian suami untuk anaknya yang berusia 26 tahun, Sabtu lalu.

Bakal menantu beliau bukan sahaja akan diberikan ganjaran tunai sebanyak 10 juta baht (RM1.74 juta), beliau juga dijangka mengambil alih empayar durian Anon.

Menurut Anon, tawaran terbuka itu tular dan beliau menerima tawaran sepanjang hari.

“Berhenti hubungi saya, saya tidak ada masa berehat,” kata penjual durian berusia 58 tahun ini dalam muat naik terbaharunya di Facebook, semalam.

“Lebih 10,000 lelaki memohon untuk menjadi menentu saya,” kata penjual yang gemar menayangkan kekayaan itu, beliau sering memaparkan wang tunai dan barangan kemas dalam gambar.

Anon ada menyenaraikan kriteria untuk bakal menantunya.

“Beliau tidak perlu berpendidikan tinggi hanya perlu tahu membaca dan menulis. Mohon jangan bawa ijazah kamu ke rumah. Beliau sepatutnya seorang yang tekun bukan pemalas,” kata Anon sambil menambah menantunya patut suka durian dan tidak boros.

Muat naik asal Anon mengenai tawaran itu sudah hilang, namun niat beliau jelas dan media Thailand mengetahui bahawa jutawan terbabit serius dengan tawarannya.

“Saya mahu seseorang yang mampu menjaga perniagaan. Saya tidak perlu seseorang yang ada ijazah, saya hanya mahu lelaki baik dan tekun serta tidak ketagih kepada perjudian atau perkara lain.

“Itu sahaja, segalanya saya sudah ada. Saya juga tidak perlu seseorang yang kaya seperti saya kerana menantu saya akan mendapat semua aset saya,” katanya.

Ketika Anon dilaporkan ‘hampir mati’ dengan panggil dan mesej tanpa henti daripada pemohon, anak perempuan beliau, Kansita Rodthong tenang.

Kansita berkata, beliau agak terkejut melihat muat naik Facebook bapanya tular sambil merasakan ia sesuatu yang melucukan, namun tidak banyak memikirkannya kerana mengetahui bapanya mempunyai niat yang baik.

“Saya tiada kriteria lelaki pilihan. Saya hanya mahu lelaki yang baik,” katanya dalam temu bual. - Agensi/ asiaone

Berita Harian X