Khamis, 28 Februari 2019 | 1:31pm
PASUKAN penyelamat berusaha menjalankan operasi dan menyelamat mangsa yang terperangkap dalam runtuhan lombong emas haram di Sulawesi Utara. - Foto AFP
PASUKAN penyelamat berusaha menjalankan operasi dan menyelamat mangsa yang terperangkap dalam runtuhan lombong emas haram di Sulawesi Utara. - Foto AFP

Angka kematian lombong runtuh cecah 7 orang

SULAWESI UTARA: Sekurang-kurangnya tujuh maut dan puluhan lagi masih terperangkap di bawah runtuhan lombong emas haram yang runtuh di Indonesia, ketika pasukan penyelamat bergelut mencari mangsa terselamat.

Kira-kira 19 pelombong berjaya dibawa keluar sejak kejadian malam Selasa lalu dan penyelamat berkomunikasi dengan mangsa yang masih tertimbus, meningkatkan harapan untuk mencari lebih ramai mangsa terselamat.

Namun dengan masa yang semakin suntuk, usaha menyelamat di lokasi terpencil itu semakin sukar kerana curam dan keadaan tanah tidak stabil selepas runtuhan itu menyebabkan tanah runtuh.

PASUKAN penyelamat mengusung mangsa yang berjaya diselamatkan dalam insiden runtuhan lombong emas haram di Sulawesi Utara. - Foto Reuters
PASUKAN penyelamat mengusung mangsa yang berjaya diselamatkan dalam insiden runtuhan lombong emas haram di Sulawesi Utara. - Foto Reuters

Pasukan perubatan bercadang memotong kaki seorang mangsa kerana ia tersepit di bawah bongkah besar, menjadikan misi membebaskan beliau mustahil tanpa melakukan pembedahan kecemasan di lokasi nahas.

“Kami bersaing dengan masa. Usaha menyelamat berterusan tetapi berisiko.

“Kami mendengar sekurang-kurangnya tiga mangsa meminta tolong dan kami cuba mengeluarkan mereka dan membekalkan mereka dengan air dan makanan supaya mereka selamat,” kata pegawai agensi bencana tempatan, Abdul Muim Paputungan.

Penyelamat dilengkapi mesin berat tetapi terpaksa menggunakan penyodok dan tangan kosong untuk membuang serpihan, kerana bimbang salah cara akan menjadikan keadaan semakin buruk. — AFP

Berita Harian X