Selasa, 23 Oktober 2018 | 9:22pm
DUTA Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel ketika sidang media mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Thailand selama dua hari bermula esok. - Foto BERNAMA
DUTA Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel ketika sidang media mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Thailand selama dua hari bermula esok. - Foto BERNAMA

Isu ekonomi, keselamatan agenda utama lawatan PM ke Thailand

BANGKOK: Isu berkaitan ekonomi, keselamatan dan ASEAN akan menjadi agenda utama yang akan dibincangkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatan rasmi dua hari ke Thailand bermula esok.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, ia adalah lawatan pertama Perdana Menteri sejak memegang jawatan itu dalam kerajaan Malaysia baharu untuk mengukuhkan lagi kerjasama baik antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 61 tahun lalu.

“Tumpuan lawatan Perdana Menteri akan berkisar kepada isu kepentingan bersama dalam aspek ekonomi, keselamatan dan ASEAN yang mempunyai potensi lebih besar untuk diterokai bersama.

“Perdana Menteri juga akan berbincang dengan rakan sejawatan terutama aspek perdagangan ekonomi di sempadan yang merangkumi 70 peratus daripada perdagangan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya pada media Malaysia yang akan membuat liputan berita lawatan itu nanti.

Malaysia adalah rakan dagang keempat terbesar Thailand di dunia dan yang terbesar di ASEAN manakala Thailand adalah rakan dagang kelima terbesar Malaysia pada peringkat global dan kedua terbesar di kalangan negara Asean.

Terdapat lebih 1,000 syarikat Malaysia yang beroperasi di Thailand dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, perbankan, penerbangan dan lain-lain.

Menurut Jojie, Dr Mahathir turut dijadual mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatannya Jen Prayut Chan-o-cha mengenai keselamatan sempadan Malaysia-Thailand bagi menangani isu seperti penyeludupan, jenayah rentas sempadan dan Proses Keamanan Selatan Thailand.

“Sejak 2004, konflik di selatan Thailand mengorbankan hampir 7,000 nyawa, namun keganasan dan jumlah kematian berkurangan kepada 235 pada 2017 berbanding 309 pada tahun sebelumnya,” katanya.

Menurutnya, Thailand melantik Malaysia sebagai pemudah cara rundingan dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor adalah fasilitator baharu untuk perbincangan itu.

“Kerjasama menyeluruh dan arah tuju yang jelas dapat menyumbang kepada kestabilan, kedamaian dan kemakmuran kedua-dua negara,” kata Jojie.

Tambahnya, sebagai anggota pengasas ASEAN, kedua-dua negara juga mempunyai peranan dan tanggungjawab utama untuk membangun dan mengukuhkan integrasi dalam kalangan negara ASEAN untuk membangunkan komuniti ASEAN yang yang stabil dari segi politik, keselamatan, ekonomi dan sosial.

“Dengan pengalamannya, Dr Mahathir boleh membincang, berkongsi dan menyumbangkan idea terhadap ASEAN dan pembangunan serantau secara keseluruhannya,” katanya.

Dr Mahathir yang akan ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta wakil kerajaan mempunyai jadual yang padat sejurus tiba di Terminal Udara Ketenteraan Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pagi esok.

Ia bermula dengan majlis sambutan rasmi di Bangunan Pentadbiran Kerajaan oleh Prayut sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan persidangan media bersama sejurus selepas mesyuarat.

Pada hari Khamis, Dr Mahathir dijadual mengadakan wawancara dengan Perkhidmatan Penyiaran Awam Thailand (Thai PBS) sebelum bertemu dengan Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC).

Perdana Menteri merasmikan penubuhannya MTCC pada 6 Julai 2002 di Bangkok semasa jawatannya sebagai perdana menteri ketika itu.

Sejak penubuhannya, MTCC memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan membangunkan kerjasama perniagaan serta ekonomi Malaysia-Thailand.

Dr Mahathir juga dijadualkan menemui rakan lamanya, Jeneral Prem Tinsulanonda, yang juga bekas Perdana Menteri Thailand dari 1980 sehingga 1988 di kediamannya di Si Sao Thewes, Bangkok.

Bekas pemimpin berumur 98 tahun itu juga adalah Presiden Privy Council, badan penasihat paling berpengaruh kepada Raja Maha Vajiralongkorn.

Pada sebelah petangnya Dr Mahathir dijadual menghadiri majlis makan tengah hari dengan diaspora Malaysia di Thailand, diikuti sesi soal jawab dengan hadirin.

Sebelum pulang ke tanah air, Perdana Menteri juga akan menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Hubungan Dua Hala Malaysia-Thailand dalam konteks Asean' di Universiti Chulalongkorn.

Sementara itu, Dr Siti Hasmah pula akan menghadiri beberapa program termasuk minum petang dihoskan isteri Perdana Menteri Thailand, Naraporn Chan-o-cha, di kediaman rasmi Phitsanulok Residence.

Beliau juga akan menghadiri sesi ramah mesra dengan Persatuan Wanita Kementerian Luar Bangkok sebelum berlepas pulang ke tanah air bersama Dr Mahathir sekitar jam 5.30 petang.

Berita Harian X