Selasa, 18 September 2018 | 8:16pm
Jho Low.
Jho Low.

Jho Low dalang sebenar skandal 1MDB

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin tahu bahawa 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah dana yang digunakan untuk tujuan politik tetapi beliau tidak terbabit dengan proses pengurusan 1MDB setiap hari.

Ketika memberi pandangan itu, wartawan Wall Street Journal (WSJ), Tom Wright, juga berkata bahawa pada masa sama beliau tidak percaya bahawa Najib tidak bersalah langsung.

Cuma, Najib tidak menyedari ahli perniagaan, Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low, menggelapkan berbilion dolar daripada dana 1MDB, kata Wright yang juga penulis bersama buku 'Billion Dollar Whale' dengan Bradley Hope, dalam temubual dengan portal Coconuts.co.

Jho Low dibiarkan mengurus dana itu, kata Wright, apabila ditanya sama ada Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, mengetahui (pengurusan) dana itu dan sejauh mana mereka boleh dipersalahkan.

Berdasarkan siasatan mereka, Wright berkata, apa yang mereka faham pada awalnya ialah Jho Low adalah penjaga akaun bagi pihak Najib tetapi kemudian ia semakin jelas bahawa lelaki kelahiran Pulau Pinang itu satu-satunya orang yang tahu sepenuhnya apa yang berlaku.

“Saya tidak rasa Najib tidak bersalah langsung. Saya pasti beliau mengetahui ia dana untuk tujuan politik, mereka memperoleh ratusan juta dolar untuk UMNO dan keluarganya mendapat rumah agam dan mengendalikan syarikat perfileman serta semua yang lain hingga beliau mungkin melihatnya sebagai faedah sebagai Perdana Menteri.

“Ini rasuah amat teruk. Tiada siapa boleh nafi. Namun, adakah Najib tahu Jho Low menguruskan dana itu dengan cara mengambil AS$4.5 bilion (RM18.6 bilion), AS$5 bilion (RM20.7 bilion) dan AS$6 bilion (RM24.8 bilion)? Saya tidak rasa begitu.

“Saya berpendapat beliau tidak terbabit dengan proses pengurusannya setiap hari, berbeza dengan Jho Low. Beliau yang mengendalikan semuanya,” kata Wright.

Katanya, oleh kerana ada hubungan dengan Najib, Jho Low semakin berani mengambil lebih banyak wang walaupun skandal 1MDB sudah mula mendapat perhatian di Malaysia.

“Perbelanjaan paling mengejutkan saya adalah beliau membeli kapal layar mewah Equanimity ketika media di Malaysia sudah mula menimbulkan persoalan mengenai kebocoran kewangan dana itu.

“Pencuri biasa akan menutup lubang itu, bukan? Tetapi, beliau tidak berbuat demikian, sebaliknya mendapatkan pinjaman baru dari Deutsche Bank dan menggunakan sebahagiannya untuk membeli kapal layar itu,” kata Wright yang menambah Jho Low menggunakan setiap peluang yang ada untuk membeli sesuatu selepas itu.

Wright berkata, berdasarkan laporannya mengenai isu 1MDB, semakin jelas Jho Low adalah ‘dalang’ dan bertanggungjawab menyelaras pemindahan AS$681 juta (RM2.6 bilion) mengikut kadar tukaran mata wang ketika isu itu didedahkan buat pertama kali pada 2015, ke dalam akaun Najib.

“Saya rasa apabila kami memperoleh mesej WhatsApp antara Jho Low dan beberapa orang lain termasuk ahli perbankan di bank Malaysia, jelas beliau beri arahan kepada mereka berbuat ini dan ini dengan wang, memindahkan wang ke dalam akaun Perdana Menteri daripada akaunnya.

“Anda boleh tahu dengan membaca mesej WhatsApp itu bahawa beliau adalah dalangnya, memberitahu bank bahawa sebanyak AS$680 juta akan tiba dari luar negara,” katanya. — NST

Berita Harian X