Isnin, 17 September 2018 | 9:12pm
JHO Low
JHO Low

Penulis buku dedah maklumat mengejutkan mengenai Jho Low

GEORGETOWN: Dua wartawan Amerika Syarikat mendakwa bahawa jutawan Low Taek Jho atau Jho Low, yang kini menjadi buruan pihak berkuasa, memiliki wang tunai lebih banyak pada satu-satu masa berbanding individu lain, dalam sejarah.

Laman web Free Malaysia Today melaporkan wartawan dan juga penulis buku ‘Billion Dollar Whale’, Tom Wright and Bradley Hope berkata demikian dalam temubual dengan akhbar New York Post, semalam.

Temubual itu diadakan menjelang pelancaran buku itu bagi pasaran Amerika Syarikat, hari ini.

Buku yang kini boleh didapati di semua kedai buku di Malaysia, mendedahkan mengenai tabiat berbelanja mewah Jho Low, termasuk pembelian barangan untuk selebriti terkenal, aktiviti judi dan meminum arak.

Malah, Jho Low juga dilaporkan pernah mengalami kerugian sebanyak AS$2 juta (RM8.27 juta) di sebuah kasino, dalam masa 10 minit.

Dalam temubual itu, Wright dan Hope turut mendakwa Jho Low menyalurkan wang AS$5 bilion (RM20.7 bilion), iaitu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun peribadinya.

Penulis juga mendakwa Jho Low, yang terkenal sebagai seorang lelaki yang suka berfoya-foya dan rombongannya berbelanja sebanyak AS$85 juta (RM351.8 juta) ketika berjudi di Las Vegas, selain membiayai kos menyewa kapal layar dan minuman keras sepanjang tempoh lapan bulan.

Jutawan itu juga dikatakan menghabiskan wang sebanyak dua juta euro (RM9.65 juta) bagi kos champagne untuk sebuah majlis yang diadakan di French Riviera.

Pada masa sama, Wright dan Hope turut mendedahkan mengenai perasaan ‘cinta’ Jho Low terhadap bintang realiti, Paris Hilton.

Beliau pernah menghadiahkan jam tangan jenama Cartier sempena hari jadi Hilton.

Bagaimanapun, kedua-dua penulis itu memaklumkan akhbar berkenaan, bahawa Jho Low menolak dakwaan beliau melakukan jenayah dan semua transaksi kewangan adalah sah serta mengikut undang-undang.

Jho Low kini dipercayai berada di China.

Selain itu, Wright dan Hope percaya, jutawan itu sedang mengadakan rundingan dengan Kerajaan Malaysia, untuk membebaskannya dan hidup dalam buangan, sekiranya beliau bersetuju untuk menyerahkan harta serta kekayaannya.

Sementara itu, Jho Low menerusi peguamnya, mengutuk penerbitan buku itu dan menganggap meletakkan kesalahan terhadap gaya hidupnya dan menyifatkan ‘perbicaraan’ pihak media adalah perkara yang paling buruk. - Agensi

Berita Harian X