X
Sabtu, 8 September 2018 | 12:17pm
Erick Thohir.
Erick Thohir.

Erick Thohir jadi pilihan Jokowi urus kempen pilihan raya

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo semalam, mengumumkan pelantikan Erick Thohir sebagai pengurus kempen pilihan rayanya, susulan kejayaan ahli perniagaan bertaraf jutawan itu mengendalikan Sukan Asia yang berakhir, baru-baru ini.

Erick yang juga pengerusi kelab bola sepak Itali, Inter Milan ditugaskan untuk mengetuai jawatankuasa Sukan Asia pada 2015.

Pelantikan itu dibuat ketika timbul kebimbangan mengenai kos pengendalian acara sukan itu yang semakin meningkat, selain lokasi penganjuran yang gagal disiapkan tepat pada waktunya.

“Seperti yang anda semua tahu, ketua pasukan kempen kebangsaan, Erick Thohir adalah seorang ahli perniagaan berjaya.

“Beliau memiliki pelbagai rangkaian perniagaan, termasuk media, kelab bola sepak, kelab bola keranjang dan lain-lain lagi.

“Jadi, sudah jelas apa sahaja yang beliau ketuai akan membuahkan kejayaan,” katanya pada sesi taklimat media yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Selain itu, Erick yang juga pengerusi kumpulan Mahaka turut memiliki akhbar Republika dan beberapa stesen radio, serta mempunyai pegangan dalam pasukan bola sepak Amerika Syarikat, DC United.

Beliau turut menjadi sebahagian daripada konsortium yang membeli pasukan bola keranjang, Philadelphia 76ers.

Widodo bakal mempertahankan jawatan presiden, menentang bekas jeneral, Prabowo Subianto yang pernah berkahwin dengan anak perempuan bekas pemimpin Indonesia, Suharto pada pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada April depan. - Reuters

Berita Harian X