Ahad, 5 Ogos 2018 | 9:19pm
Ibu mengambil bahagian dalam penyusuan susu ibu di Manila pada 5 Ogos 2018. - Foto AFP

1,500 ibu susukan bayi di Filipina

MANILA: Kira-kira 1,500 ibu di Filipina menyusukan bayi mereka dan ada yang menyusukan dua bayi serentak di tempat awam sempena acara minggu susu ibu sedunia anjuran kerajaan dalam usaha mencegah kematian bayi.

Kebanyakan wanita yang mengambil bahagian memakai tiara dan baju T adiwira, duduk di atas lantai di stadium Manila sambil menyusukan bayi mereka dengan berlatarkan muzik rancak.

"Menyusukan tanda sayang. Ia sukar tetapi kami lakukannya kerana sayang," kata Abegirl Limjap, pengurus hartanah, 38 tahun lengkap berpakaian 'Super Mom' sambil menyusukan dua anaknya yang berusia lima tahun dan 11 bulan.

Penganjur, Rose Padua berkata, acara tahunan itu bertujuan untuk mendapatkan sokongan orang ramai terhadap kempen kerajaan untuk memastikan lebih ramai ibu beralih daripada susu formula kepada susu ibu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mencadangkan kanak-kanak diberi susu ibu dalam tempoh sejam pertama selepas kelahiran dan disusukan secara eksklusif untuk tempoh enam bulan pertama.

Bagaimanapun, dua agensi PBB itu dalam laporan awal tahun ini mendedahkan, di seluruh dunia, tiga daripada lima bayi tidak disusukan awal, menyebabkan mereka berdepan risiko tinggi kematian dan mendapat penyakit.

Menurut data WHO, 27 daripada 1,000 kanak-kanak meninggal dunia sebelum mencapai usia lima tahun di Filipina pada 2016. - AFP

Berita Harian X