Isnin, 16 Julai 2018 | 6:37pm

Semua mayat nahas feri karam Phuket dikeluarkan

PHUKET: Pasukan penyelamat Thailand berjaya membawa keluar mayat terakhir, mangsa nahas feri karam yang mengorbankan puluhan pelancong China di selatan pulau peranginan Phuket, bulan ini.

Bot Phoenix yang membawa 105 penumpang, kebanyakannya warga negara China dilaporkan karam semasa dalam perjalanan pulang dari lokasi menyelam terkenal pada 5 Julai lalu.

Difahamkan penyelam dan tentera laut menghabiskan masa seminggu untuk mengeluarkan mayat dari dalam bot, hingga menimbulkan kemarahan ahli keluarga yang sedang menunggu berita terbaru membabitkan mangsa.

Jabatan Perhubungan Awam Phuket dalam satu kenyataan semalam, berkata bahawa 'mayat terakhir dari nahas bot Phoenix' sudah ditemui malam tadi.

"Semua yang hilang sudah ditemui," kata kenyataan itu yang merekodkan angka akhir mangsa terkorban seramai 47 orang.- AFP

Berita Harian X