Sabtu, 7 Julai 2018 | 11:19pm
ANGGOTA penyelamat ketika berada di kawasan lokasi bot karam di Phuket. - Foto AFP
ANGGOTA penyelamat ketika berada di kawasan lokasi bot karam di Phuket. - Foto AFP

'Kubur dalam air'

PHUKET: Penyelam pasukan penyelamat bot pelancong karam di Phuket, berdepan situasi mengerikan hari ini apabila menemui mayat bergelimpangan dalam bot itu, termasuk seorang wanita memeluk erat kanak-kanak dipercayai anaknya.

Sekurang-kurangnya 41 pelancong China maut selepas bot Phoenix karam akibat laut bergelora, kelmarin.

Setakat ini, 15 mangsa masih hilang dan harapan menemui mangsa terselamat terlalu tipis.

Seramai 48 penumpang dan kru sempat menyelamatkan diri dengan melompat ke dalam laut atau berpaut pada bot penyelamat, namun ramai terperangkap di ruang utama ketika ia tenggelam 40 meter ke dalam Laut Andaman.

"Ia memang menyukarkan. Bayangkan menemui banyak mayat termasuk kanak-kanak dalam dakapan mayat ibu mereka.

"Usaha terbaik kini adalah mencari mayat untuk diserahkan kepada keluarga masing-masing," kata warga Perancis yang juga pengurus kedai penyelam, Philippe Entremont.

Puluhan penyelamat termasuk sukarelawan dan penyelam rekreasi berusaha sejak dua hari lalu di kawasan yang terkenal dengan terumbu cantik itu bagi mencari mangsa.

Kebanyakan pakar penyelam Thailand dihantar ke utara negara itu untuk operasi menyelamat 12 murid yang terperangkap dalam gua dinaiki air selama dua minggu.

Ia menyebabkan hanya sukarelawan mengendalikan tugas sukar mengeluarkan mayat dari bot karam itu. - AFP

Berita Harian X