Jumaat, 6 Julai 2018 | 10:13pm
PELANCONG turut diselamatkan menggunakan bot nelayan di Pulau Phuket.
PELANCONG turut diselamatkan menggunakan bot nelayan di Pulau Phuket.
MANGSA yang terselamat diberikan rawatan. - Foto Reuters
MANGSA yang terselamat diberikan rawatan. - Foto Reuters

37 maut, 18 hilang bot pelancong karam

PHUKET: Penyelamat Thailand mengeluarkan 37 mayat dari dalam air di luar pantai pulau peranginan Phuket hari ini selepas bot pelancong dengan puluhan pelancong China karam.

Kebanyakan mangsa yang meninggal ditemui hanyut muka ke bawah di dalam air, masih memakai jaket keselamatan, beberapa kilometer dari lokasi kapal Phoenix tenggelam selepas dibadai ombak setinggi lima meter dalam ribut petang semalam.

"Angka kematian hari ini adalah 37, dengan 18 masih hilang," kata pegawai tentera laut Thailand yang enggan dikenali hari ini.

Dalam perkembangan mengerikan terdahulu, penyelamat melaporkan melihat lebih 10 mayat terapung dalam bot yang karam itu, menurut jurucakap tentera laut Thai, Laksamana Charoenphon Khumrasee, yang berkata mereka cuba mengeluarkan mayat itu hari ini.

Seorang mangsa terselamat, wanita China, dikejar ke hospital di Phuket, menurut wartawan AFP di lokasi, ditemui beberapa kilometer dari kedudukan bot selepas semalaman berada dalam air. Keadaannya tidak diketahui.

Bot tiga tingkat itu membawa 105 penumpang, kebanyakannya pelancong China, ketika karam.

"Langit terang ketika kami keluar, kami tidak tahu cuaca akan berubah dengan cepat," kata Wu Jun, 28, yang berada di katil hospital menempatkan isterinya, Long Hai Ning.

Pasangan berkenaan, yang sedang berbulan madu, berada di dek berasingan apabila bot mula senget, tetapi kedua-duanya berjaya menyelamatkan diri.

"Saya menyambar pemegang dan menolak diri ke atas," katanya, menambah beliau bimbang wanita dan kanak-kanak antara yang terperangkap di dek paling bawah ketika bot karam. - AFP

Berita Harian X