Jumaat, 6 Julai 2018 | 3:41pm
Petugas penyelamat Thailand membawa mayat mangsa bot karam dari pulau pelancongan Phuket, Thailand. - Foto REUTERS
Petugas penyelamat Thailand membawa mayat mangsa bot karam dari pulau pelancongan Phuket, Thailand. - Foto REUTERS

TERKINI: 12 mayat ditemui, puluhan pelancong China masih hilang

PHUKET: Tentera laut Thailand berjaya membawa keluar 12 mayat pelancong warga China selepas bot yang dinaiki puluhan penumpang itu karam di perairan berhampiran pulau Phuket, akibat dilanda ombak kuat.

Lima daripada mayat itu ditemui lengkap memakai jaket keselamatan, beberapa kilometer dari lokasi bot terbabit, Phoenix karam selepas dilanda ombak setinggi lima meter ketika ribut melanda kawasan berkenaan, semalam.

Menurut wartawan AFP yang berada di lokasi, seorang mangsa wanita yang berjaya diselamatkan, dibawa ke sebuah hospital di Phuket untuk rawatan lanjut.

"Wanita itu ditemui terapung-apung berhampiran mayat mangsa, beberapa kilometer dari bot terbabit dan keadaannya masih tidak diketahui," katanya.

Sementara itu, 43 lagi penumpang masih hilang tetapi mereka dipercayai terperangkap di dalam Phoenix yang karam ketika dalam perjalanan pulang ke Phuket.

Petugas penyelamat Thailand membawa mayat mangsa bot karam dari pulau pelancongan Phuket, Thailand. - Foto REUTERS
Petugas penyelamat Thailand membawa mayat mangsa bot karam dari pulau pelancongan Phuket, Thailand. - Foto REUTERS

"Kesemua 12 mayat mangsa dihantar ke Hospital Vachira Phuket untuk pengesahan identiti," kata Kementerian Kesihatan Awam dalam satu kenyataan di Bangkok.

Dalam pada itu, beberapa helikopter dilihat berlegar-legar di kawasan perairan terbabit, ketika pasukan penyelam cuba menghampiri bot yang dilaporkan karam pada kedalaman 40 meter di Laut Andaman.

Bot terbabit dilaporkan karam beberapa kilometer di luar pantai pulau kecil Koh He, yang terkenal dengan keindahan terumbu karang, terutama dalam kalangan pelancong yang mengunjungi Phuket.

Ketika kejadian, Phoenix dilaporkan 105 penumpang, sebahagian besar adalah warga China.

Namun, 48 penumpang termasuk anak kapal berjaya diselamatkan dan satu mayat ditemui semalam, sebelum ia ditangguhkan tengah malam tadi. - AFP

Berita Harian X