Rabu, 30 Mei 2018 | 4:32pm
SINGAPORE Airlines Ltd akan melancarkan penerbangan komersil terpanjang dunia Oktober ini, perjalanan tanpa henti selama hampir 19 jam dari Singapura ke satu wilayah di New York. - Foto Reuters
SINGAPORE Airlines Ltd akan melancarkan penerbangan komersil terpanjang dunia Oktober ini, perjalanan tanpa henti selama hampir 19 jam dari Singapura ke satu wilayah di New York. - Foto Reuters

Singapore Airlines lancar penerbangan tanpa henti

SINGAPURA: Singapore Airlines Ltd akan melancarkan penerbangan komersil terpanjang dunia Oktober ini, perjalanan tanpa henti selama hampir 19 jam dari Singapura ke satu wilayah di New York.

Penerbangan sejauh 15,329 kilometer dari Singapura ke Newark, New Jersey dengan 161 kerusi kelas perniagaan dan ekonomi akan mengatasi penerbangan Qatar Airways sejauh 14,525 kilometer dari Doha ke Auckland sebagai penerbangan paling lama dunia, menurut penyedia data penerbangan, OAG.

Syarikat penerbangan termasuk Qantas Airways Ltd di Australia dan United Continental Holdings Inc beribu pejabat di Amerika Syrikat menambah penerbangan jarak jauh yang boleh mengawal tambang premium kira-kira 20 peratus berbanding penerbangan membabitkan satu atau lebih persinggahan.

Penerbangan Singapura-Newark menandakan kembalinya laluan popular bagi Singapore Airlines.

Syarikat itu melakukan penerbangan maraton sehingga 2013, apabila harga bahan bakar tinggi menjadikan penggunaan pesawat Airbus, SE A340-500 empat enjin tidak menguntungkan.

Sejak itu, ia cuma digunakan untuk penerbangan ke Lapangan Terbang JFK di New York menerusi Frankfurt.

Singapore Airlines adalah yang pertama dan satu-satunya pelanggan Airbus bagi A350-900ULR, versi jarak jauh jet A350 dua enjin.

Syarikat penerbangan itu, hari ini juga berkata ia bercadang memperkenalkan penerbangan tanpa henti dari Singapura ke Los Angeles dengan pesawat A350-900 ULR pada masa akan datang. - Reuters

Berita Harian X